Islam cetus keadilan bagi manusia

Prinsip kesaksamaan tonggak utama pemerintahan tanpa mengira nas, agama

BARISAN sarjana Barat yang terkenal seperti Thomas Cerlyle, Gustav Le Bon, Oswald Spengler dan Arnold Toynbee pernah mengambil kesimpulan yang menarik selepas melakukan kajian terhadap bekas peninggalan tamadun Islam.

Mereka menyatakan perubahan hebat yang berlaku ke atas tamadun di serata dunia itu tidak terlepas daripada pengaruh Islam. Tanpa malu dan segan mereka mengakui kebangkitan tamadun Eropah Barat Moden dicorakkan oleh Islam yang pernah berkuasa selama 800 tahun di sana, iaitu di Sepanyol dan Andalusia.

Tamadun itu berakhir pada 1492 Masihi selepas ia ditawan musuhnya. Namun, kesan tamadun dan warisan ilmunya sudah mencorak dan menunjangi kebangkitan tamadun moden barat selepas itu. Suatu hakikat diakui musuh kepada pembina tamadun asal itu sendiri.

Cahaya agama Allah pernah meresap masuk menguasai Eropah. Islam sudah berlabuh di Sepanyol hingga ke tembok Vienna. Panglima Tariq bin Ziyad membakar semangat mujahidnya. Beliau berkata: “Sesungguhnya lautan berada di belakang kamu dan musuh di hadapan kamu. Tiada lagi jalan pulang! Nasib kamu akan ditentukan oleh keberanian atau jiwa pengecut!”

Sejak saat itu, Islam masuk dan berkembang pesat di bumi Sepanyol, hingga saat ini masih ada sisa-sisa 1,400 masjid di Cordova dan istananya yang terkenal di seluruh dunia iaitu al-Hamra’ di Granada.

Bukan sekadar itu, warisan ilmu sains, teknologi, matematik dan sebagainya yang menunjangi tamadun Andalusia sudah menapak kukuh di dada bangsa Eropah. Puncanya, Andalusia pernah menjadi pusat tamadun, kebudayaan dan gedung ilmu.

Bangsa Eropah datang ke Andalusia menuntut ilmu yang dikembangkan umat Islam. Mereka mempelajari bahasa Arab dan ilmu Islam demi mencungkil ilmu sains dan teknologi yang dimonopoli umat Islam ketika itu.

Catatan sejarah tamadun Islam juga mencatatkan bahawa selepas kewafatan Baginda SAW, Khalifah Umar bin al-Khattab memerdekakan Palestin dengan damai. Penyerahan kekuasaan ke atas tanah Palestin dilakukan sendiri Uskup tertinggi Nasrani yang rela tunduk dalam pentadbiran kerajaan Islam adil dan beramanah.

Belum sampai 50 tahun selepas kewafatan Baginda SAW, perjuangan Baginda SAW diteruskan generasi Islam yang cintakan agama dan Rasul-Nya. Di Afrika Utara, Islam ditegakkan oleh panglima Tariq bin Ziyad.

Islam turut merebak hingga ke Asia Tengah seterusnya menyeberangi sungai Sind dan Ganges. Agama Allah dibela oleh bala tenteranya yang perkasa, ketika itu yang memimpin tentera itu adalah pemuda berusia 17 tahun bernama Muhammad bin al-Qasim.

Persoalan sering timbul pada minda pengkaji sejarah ketamadunan ialah siapakah Muhammad? Kekuatan apakah yang Baginda bawa hingga mampu menenggelamkan kuasa Kaisar dan Raja? Tamadun apakah yang digunakan hingga mampu mencorakkan sistem dan undang-undang, ilmu dan politik, budaya dan ekonomi, ketenteraan dan kedaulatan umat manusia hingga kini?

Jawapannya terkandung pada ciri Tamadun Islam itu sendiri yang dapat disimpulkan sebagai berikut:

Islam adalah agama bersifat universal, tidak mengamalkan fanatik kesukuan atau asabiyah dan menjunjung tinggi sistem keadilan sesama manusia. Tanpa mengira ras dan agama.

Apabila negara di seluruh dunia bersatu dalam wadah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, mereka merumuskan satu deklarasi sejagat bercirikan keadilan dan kemanusiaan. Mereka menyebutnya sebagai ‘Declaration of Human Rights’ yang diharap berupaya memberikan setiap individu hak mereka sebagai manusia merdeka seadil-adilnya. Tetapi, Islam terlebih dulu meletakkan dan mengamalkan prinsip keadilan serta kesaksamaan bagi seluruh umat manusia.

Firman Allah Taala yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangi kamu dalam agama dan tidak mengusir kamu dari perkampungan kamu, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahinah, ayat8)

Ajaran Nabi Muhammad SAW menolak diskriminasi terhadap bukan Islam iaitu mereka yang bukan pengikut agamanya. Bahkan, haram menyakiti orang bukan Islam yang tidak menentang Islam.

Menerusi sabdanya Rasulullah menegaskan yang maksud: “Barang siapa yang mengganggu orang zimmi (bukan Muslim dalam negara Islam) maka samalah dia seperti menggangguku dan barang siapa yang menggangguku maka dia mengganggu Allah Taala.” (Hadis riwayat al-Tabrani)

Islam tidak memisahkan agama dari negara. Islam menolak sekularisme dalam bentuk apapun yang bertujuan memisahkan agama daripada kehidupan yang menjadikan kehidupan lepas bebas daripada neraca agama. Sedangkan, neraca agama adalah sesuai bagi mentadbir seluruh urusan kehidupan keduniaan manusia.

Musuh Islam dan golongan yang tidak memahami Islam berusaha memburuk-burukkan imej negara Islam dengan kemunduran, keganasan dan sikap kuku besi. Generasi Islam yang celaru dengan keadaan semasa dan hanya memiliki kefahaman Islam yang lemah amat mudah mengikuti fahaman musuh Islam yang menyatakan Islam mesti dipisahkan daripada negara dan politik.

Mereka meminjam istilah fahaman sekular yang mengajarkan bahawa agama ini untuk Tuhan dan negara untuk semua. Dengan demikian, barulah keamanan dan kesejahteraan dapat dikecapi seluruh umat manusia, dakwa mereka.

Maknanya mereka mahu apabila Islam dipisahkan dari negara, tiada lagi syiar Islam yang perlu diperjuangkan. Biarlah Islam hanya tinggal di masjid, tetapi tidak perlu diamal dalam pentadbiran negara. Sungguh ia suatu pemikiran yang berbahaya, seperti racun dan bisa yang boleh mematikan cahaya agama Allah di serata dunia.

Namun kita boleh berbangga, negara kita sudah melakukan lonjakan pemikiran dan perubahan sikap. Malaysia dengan bangganya menyatakan sikap bahawa kami adalah negara Islam yang bertamadun. Berdiri di atas dunia ini menyambung perjuangan Nabi Muhammad SAW yang membawa misi kedamaian ke seluruh alam.

Perpaduan ulama dan umara, pemimpin dan rakyat untuk merealisasikan cita-cita tamadun Islam yang gemilang, cemerlang dan terbilang.

Sesungguhnya setiap Muslim berkewajipan membela agamanya. Agama dan negara tidak boleh dipisahkan. Sejarah membuktikan wujudnya negara Islam yang pertama di Madinah. Pemimpin negara Islam pertama Nabi Muhammad SAW.

Kepemimpinan itu sambung menyambung hingga ke hari ini. Bagi setiap pemimpin Islam di mana pun, yang memiliki satu persepsi dan agenda sama dengan Muhammad SAW, maka wajib bagi umatnya mengasihi dan mentaati kepemimpinannya.

Hal itu, pernah dinyatakan Imam yang agung, Shaikhul Islam Ibnu Taimiyah dalam kitabnya, al-Siyasah al-Syar’iyyah yang menukilkan pendapat ulama salaf seperti al-Fudail bin Iyadh dan Imam Ahmad bin Hanbal yang menyatakan: “Jikalau kami ulama memiliki doa yang mustajab nescaya kami akan mendoakannya untuk kebaikan pemimpin kami.”

Ibnu Taimiyah juga mengulas mengenai keagungan peranan dalam memimpin negara, katanya: “Wajib diketahui bahawa memimpin manusia adalah kewajipan agama yang paling besar, bahkan tidak akan wujud agama dan dunia tanpanya.”

Apabila ketiga-tiga ciri itu dapat direalisasikan oleh generasi Islam kini, dengan izin Allah pelbagai konspirasi musuh Islam akan dapat diatasi. Islam tidak akan lemah kerana Allah Taala menciptakannya untuk menyelamatkan manusia daripada kesesatan dan kehancuran.

INTI PATI

Perubahan tamadun Islam

Perubahan hebat berlaku ke atas tamadun di serata dunia tidak terlepas daripada pengaruh Islam dan kebangkitan tamadun Eropah Barat Moden dicorakkan oleh Islam yang pernah berkuasa selama 800 tahun di Sepanyol dan Andalusia.

Cahaya Islam pernah meresap masuk menguasai Eropah. Islam sudah berlabuh di Sepanyol hingga ke tembok Vienna.

Islam tidak memisahkan agama dari negara dan menolak sekularisme dalam bentuk apapun yang bertujuan memisahkan agama daripada kehidupan yang menjadikan kehidupan lepas bebas daripada neraca agama.

Malaysia dengan bangganya menyatakan sikap bahawa kami negara Islam yang bertamadun. Berdiri di atas dunia ini menyambung perjuangan Nabi Muhammad SAW.

Apabila ketiga-tiga ciri dapat direalisasikan generasi Islam kini, konspirasi musuh Islam akan dapat diatasi.

Leave a comment

Filed under Tajdid Iman

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s