Jihad perniagaan, ilmu dimensi baru bina kekuatan

KONSEP jihad mempunyai pengertian luas. Jihad bagi umat Melayu ialah mengangkat martabat dan ada daya juang mempertahankannya. Jihad paling utama bagi umat Melayu ialah jihad ilmu dan jihad perniagaan.

Semangat jihad penting pada setiap orang Melayu dalam pengertian memiliki jiwa untuk terus berubah memperteguhkan asas tradisi yang baik dan mengatur strategi bijaksana bagi memperkasa kekuatan umat dalam semua lapangan.

Islam sebagai cara hidup tidak saja memerlukan umatnya hebat dari segi akidah dan akhlak tetapi memahami ilmu Islam dan ilmu berbanding dengan baik. Ia tidak saja teguh dengan kepentingan fardu ain tetapi memiliki keahlian menguasai ilmu fardu kifayah.

Asas kekuatan ini penting bagi menghadapi cabaran globalisasi yang sifatnya menampilkan kekuatan ilmu dan teknologi Barat di samping gagah dengan penguasaan ekonomi kapitalis-liberalnya.

Kehadiran Trans National Corporation memberikan dimensi baru dalam kegiatan perniagaan di Malaysia. Umat Melayu harus ada keinsafan tinggi untuk menjadikan kegiatan perniagaan sebagai suatu jihad.

Tanpa semangat itu, umat Melayu akan terpinggir pada masa depan dan ia boleh menjejaskan pegangan atau ekuiti sedia ada. Ilmu mengenai perniagaan, etika dalam perniagaan perlu teguh dan dalam masa sama berkeupayaan untuk bersaing adalah faktor amat dituntut.

Dalam bidang ilmu pengetahuan terdapat petanda anak Melayu sedang menyertai pelbagai bidang ilmu pengetahuan di institut pengajian tinggi dalam dan luar negara. Potensi cemerlang di kalangan mereka harus dikenal pasti dan dipantau supaya memajukan potensi mereka secara susulan hingga ke tahap pakar menjadi suatu keutamaan. Modal insan seperti ini harus diperbanyakkan supaya sumbangan dan kajiannya dapat menyumbang ke arah pembangunan dan kemajuan Malaysia.

Usaha ini berkait rapat dengan jihad perniagaan supaya modal insan dilahirkan ada ruang untuk terbabit dalam arus perdana ekonomi negara. Umat Melayu yang sudah berjaya dalam bidang perniagaan, seharusnya membina ahli perniagaan pelapis yang ada potensi untuk maju dan memajukan yang lain.

Jika kejayaan dalam perniagaan menyebabkan ada kelupaan untuk memberi ruang kepada yang baru bergiat, ia memberi petanda tidak sihat kepada pembangunan perniagaan umat Melayu.

Penggiat baru dalam perniagaan perlu menunjukkan keupayaan tinggi menghadapi cabaran dan kerenah dunia perniagaan. Di sinilah perlunya semangat jihad dalam erti kata memiliki ilmu dan pengalaman perniagaan yang baik, mengakui bahawa jiwa mandiri perlu bagi memecahkan masalah dalam perniagaan, keupayaan menjana modal yang mencukupi dan kesediaan untuk membina rangkaian yang sihat sesama umat manusia. Ia penting diteroka kerana di kalangan ahli perniagaan bukan umat mempunyai rangkaian yang agak kuat dengan modal yang agak besar dan pengalaman yang luas.

Kelebihan yang ada pada penggiat perniagaan umat Melayu dan umat Islam ialah peluang terbuka luas untuk meningkat. Jihad perniagaan harus mampu mengunjurkan bahawa bidang perniagaan tidak hanya terbatas dalam negara saja tetapi peluang terbuka di luar Malaysia harus dijadikan sasaran.

Kebangkitan negara China sebagai sebuah kuasa besar dalam tahun mendatang memberikan dimensi baru kepada penggiat perniagaan di Malaysia. Harus ada tekad yang tinggi di kalangan tokoh dan penggiat perniagaan umat Melayu mewujudkan peluang supaya perkembangan ekonomi di negara itu boleh dimanfaatkan secara bijaksana dengan mewujudkan jaringan dan hubungan strategik yang memungkinkan penyertaan aktif berlaku.

Dekad mendatang adalah tempoh amat kritikal bagi umat Islam keseluruhannya khususnya umat Melayu dalam menghadapi hegemoni Barat yang semakin agresif. Allah mengurniakan perut bumi dan bumi orang Islam dengan kekayaan sumber yang banyak.

Umat Islam memiliki tamadun yang mendorong mereka untuk maju dalam ilmu dan juga perniagaan. Jumlah umat Islam di seluruh dunia melepasi 1.4 bilion perlu dicerahkan daripada buta huruf dan buta ilmu dan bencana kemiskinan. Penumpuan kepada bidang ilmu agama mengikut kaedah tradisi perlu di ubah ke arah pendekatan integratif. Ilmu mengurus diri (fardu ain) tidak memadai untuk terbabit sama dalam cabaran intelektual dan pemikiran yang sengit.

Keupayaan dalam memperkasa ilmu mengurus sistem (fardu kifayah) amat dituntut supaya corak modal insan yang dilahirkan tidak saja memiliki kekuatan akhlak dan amanah tinggi tetapi semangat jihad perniagaan memungkinkan mereka mempunyai daya saing tinggi.

Leave a comment

Filed under Ufuk Minda

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s