Mengenali sifat pembela agama

Pendakwah harus bersedia dengan ilmu, kepakaran menegakkan Islam

MENJADI sunnatullah pada setiap kurun, zaman dan waktu yang bergerak pantas, akan hadir kumpulan pembela agama Allah. Mereka hidup dengan haruman catatan perjuangan berterusan daripada generasi ke generasi serta saling bersambungan umpama suatu mata rantai yang tidak putus hingga akhir zaman.

Lakaran kisah mereka dimulakan dengan kedudukan orang tua mereka bernama Adam. Beliau melahirkan zuriat yang ramai dan ada antaranya meneruskan risalah nubuwah yang ditinggalkan. Nabi dan Rasul dikelilingi kaumnya yang setia, membela dan menjaga risalah. Begitulah ketetapan Tuhan. Mereka adalah manusia paling beruntung kerana dipilih untuk misi dan visi dakwah-Nya.

Bagaimanakah dengan kita yang hidup pada zaman serba canggih ini. Apakah ada manusia yang layak mendapat sebutan sebagai Penolong Agama Allah, Ansarullah? Bagaimanakah hendak memenuhi syarat bagi memastikan barisan Ansarullah ini menjadi pilihan kita? Layakkah kita berdiri memegang mata rantai dakwah yang pernah digenggam lelaki perkasa dan wanita tegar di jalan Allah?

Antara karakter Ansarullah yang layak memikul tugas membela agama Allah ialah:

Memanfaatkan potensi diri untuk agama Allah.

Sesiapa yang menggunakan penanya untuk menegakkan kalimah Allah maka dia adalah pembela Allah. Sesiapa yang menghulurkan hartanya untuk membela kebajikan kaum muslimin maka dialah Mujahid Allah.

Sesiapa yang menggunakan tenaga dan fikirannya mendidik generasi Islam, jika dia mati pada jalan itu, maka dia bergelar Syahid fi Sabilillah. Sesiapa yang menunjukkan kebaikan, dia mendapat pahala sama dengan pahala orang yang mengerjakannya tanpa mengurangi pahala orang itu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa melihat kemungkaran maka ubahlah ia dengan tangannya, apabila dia tidak sanggup ubahlah dengan lidahnya, apabila ia tidak sanggup maka ubahlah dengan hatinya, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (Hadis riwayat Muslim)

Membela sesuatu fahaman tidaklah semudah yang kita bayangkan, jika kita tiada keyakinan mengenai fahaman itu dan tiada kecintaan kepadanya maka tidak akan tergerak hati kita untuk membelanya.

Seperti orang yang aktif menggerakkan suatu perniagaan, untuk mendapat kejayaan, dia mesti faham selok-beloknya, mengkaji dengan penelitian tepat dan berani mencuba kerana yakin akan mendapat keuntungan berlipat ganda.

Begitu pula halnya dengan orang yang berniaga pada jalan Allah. Dia mesti mengikut proses perjalanan dakwah dengan ilmu dan kepakaran, tenaga dan usaha, harta dan jiwanya untuk memenangi agama Allah.

Seperti firman Allah Taala yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah Taala sudah membeli daripada orang mukmin, diri dan harta mereka dengan nilaian syurga.” (Surah Al-Taubah, ayat 111)

Dan firman-Nya lagi yang bermaksud: “Dan apa saja kebaikan yang kamu usahakan bagi diri kamu, sudah tentu kamu akan mendapat pahalanya di sisi Allah.” (Surah Al-Baqarah, ayat 110)

Menjadikan Allah, Rasul dan orang mukmin sebagai penolong.

Ciri pembela agama Allah termaktub dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya serta orang beriman, yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat seraya tunduk kepada Allah, dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya dan orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pendokong Allah itulah yang pasti menang.”

Seorang pembela agama menyerahkan hatinya untuk Allah, Rasul dan orang beriman. Dia tidak disibukkan dengan urusan remeh-temeh yang boleh menghabiskan masa dan tenaga. Hari-harinya diisi perbuatan bermanfaat untuk umat. Kekuatan seorang pembela agama terletak pada kuatnya ibadat kepada Allah yang disebutkan dalam ayat ini, sembahyang dan zakat.

Sembahyang membekalkan tenaga rohani yang boleh melonjakkan daya kekuatan jasmani, mencerahkan pemikiran dan mententeramkan perasaan. Semua itu sememangnya diperlukan seorang yang sentiasa dicabar di atas jalan dakwah.

Sementara zakat pula mendidik jiwa untuk merelakan harta, sesuatu yang paling disayangi untuk membuktikan kebenaran imannya. Kedua-dua ibadat itu tidak akan sempurna tanpa persekitaran yang baik, iaitu sokongan orang mukmin yang membentuk jemaah umat Islam.

Tidak berdukacita dengan tribulasi dakwah.

Hanya orang yang sabar menahan sakit boleh menang dalam setiap pertempuran. Bukan atas sebab siapa lebih kuat dan perkasa. Sesungguhnya jalan dakwah adalah jalan sengsara dan seksaan yang pedih. Di sana hadir penentang dan musuh yang akan memerangi syiar agama Allah. Mengapa Allah tentukan jalan sukar dilalui Rasulullah SAW untuk mendapat kemenangan? Mengapa tidak langsung diberikan kemenangan itu dengan cepat dan mudah?

Ketentuan itu berlaku atas hikmah supaya pembela agama Allah diuji siapa yang paling baik amalannya dan jalan dakwah itu juga adalah suatu proses mematangkan iman seseorang. Supaya Allah mengetahui siapakah yang benar imannya dan siapakah berdusta.

Sudah ramai yang terkorban di jalan Allah, ada juga menyerah kalah dan meninggalkan jalan-Nya ataupun terseleweng dengan matlamat lain untuk kepentingan diri sendiri. Siapakah pembela yang istiqamah?

Al-Quran menjanjikan kemanisan bagi kita yang teguh dalam perjuangan. Firman Allah Taala yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang menyatakan: Tuhan kami ialah Allah dan kemudian meneguhkan pendirian mereka maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: Janganlah kamu berasa takut dan janganlah kamu berasa sedih dan bergembiralah dengan memperoleh syurga yang dijanjikan Allah kepada kamu.” (Surah Fussilat, ayat 30)

Leave a comment

Filed under Tajdid Iman

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s