Pengalaman sentiasa memberi nikmat

“ Kalau anda arif bistari, anda akan mengetahui bahawa kegagalan anda sama pentingnya dengan kejayaan-kejayaan anda ”

Bukan hasil yang penting, tetapi langkah apa yang dilakukan untuk mencapainya. Nikmat akan hilang ditelan masa, tetapi pengalaman tidak pernah pencen daripada memberikan makna nikmat.

Usah jatuh dengan kegagalan. Ia satu nikmat yang perlu disyukuri. Tanpa kegagalan anda tidak tahu nikmatnya berjaya.

Kegagalan sentiasa membuka peluang untuk berjaya manakala kejayaan sentiasa terdedah untuk kembali gagal. Gagal atau berjaya bukanlah penting, yang lebih istimewa usaha untuk mengatasi kegagalan dan usaha untuk menikmati kejayaan.

Berani untuk gagal selalunya berakhir dengan berjaya. Takut untuk berjaya selalunya berakhir dengan gagal. Takut untuk berjaya dan gagal selalu berada di tengah-tengah – ke kiri tidak, ke kanan tidak; ke belakang tidak, ke depan pun tidak. Hidup bagaikan tunggul mati, tidak berguna pada alam, tidak berguna pada diri sendiri.

Setiap kita memiliki kudrat untuk berusaha dan berjaya. Apa yang ditanam itulah yang akan dituai. Jika menanam padi dan padi itu dijaga dengan sebaik-baiknya, tentu bukan lalang yang tumbuh. Berdoa sahaja tanpa menanam benih, itu sia-sia. TUHAN tidak mencampakkan sebutir padi di muncung burung tetapi burung terpaksa terbang mencari padi yang merupakan rezekinya.

Beruntunglah orang yang faham makna berjaya dan faham makna gagal. Apabila dia mengetahuinya dia boleh memilih salah satu. Untuk berjaya dia yang tentukan, untuk gagal dia juga yang menentukannya.

Untuk masuk ke dalam parit, itu pilihan kita; untuk mengelak daripada tercebur ke dalamnya, itupun pilihan kita. Kita berkuasa memilih mengikut kehendak dan kemahuan kita. Kalau mahu berjaya kita boleh rangka langkah-langkah ke situ, untuk tidak mahu berjaya, kita juga boleh merangka langkah-langkah ke situ.

Seorang penebang pokok bukan dilihat pada berapa batang pokok yang boleh ditebangnya dalam sehari, tetapi berapa batang pokok yang benar-benar tumbang hasil dari hayunan kapaknya. Kepintarannya pula tidak diukur pada jumlah yang tumbang, tetapi apakah tumbang pada arah yang betul. Kisah kebijaksanaannya pula bukan pada pokok yang tumbang tetapi pada sekerap mana dia mengasah kapaknya.

Anda bukan tidak rajin berusaha tetapi kadang-kadang anda culas dengan masa. Anda bukan tidak mahu berjaya tetapi tiada alat untuk memudahkan anda merealisasikan kejayaan itu. Anda bukan tidak tahu seksanya kalau gagal, tetapi anda selalu berkata “tak apa” kalau gagal. Berani gagal bukan proses menggagalkan diri tetapi persediaan membina kecemerlangan.

Pak Mat bekerja di sebuah kilang sebagai pengawal keselamatan berjumpa dengan pengurus meminta cuti.
“Tuan, saya mahu minta cuti seminggu balik kampung, ada urusan keluarga. Bolehkah?” “Cuti seminggu? Okeylah. Saya bagi cuti seminggu.” Selepas 14 hari , baru Pak Mat bertugas kembali.. Tanya pengurus, “Pak Mat, kenapa dua minggu cuti?” “Eh, betullah. Saya minta seminggu cuti, tuan bagi seminggu cuti. Dua-dua jadi dua minggulah.” Betullah, hendak berjaya atau mengelak dari berjaya itu kita sendiri yang tentukan.

Leave a comment

Filed under Motivasi Diri

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s