Ibadah Merangsang Pengukuhan Ekonomi

Islam memandang penting pengukuhan ekonomi kerana tanpanya ia boleh membawa manusia kepada kekufuran. Nabi s.a.w bersabda, “Hampir-hampir kemiskinan itu membawa kepada kekufuran.” (Riwayat Baihaqi dan Abu Muslim Al-Laithi)

Perlaksanaan rukun Islam yang lima menyedarkan umat Islam tentang kepentingan mencari harta yang halal. Tanpa harta sebahagian ibadah tidak dapat dilaksanakan dan jika ia dilaksanakan juga dengan menggunakan harta yang haram, ia akan ditolak oleh Allah. Di dalam konteks kekayaan, Islam sebenarnya menggalakkan umatnya menjadi kaya kerana, hanya orang yang kaya sahaja yang berkesempatan untuk mengeluarkan zakat harta benda. Nabi s.a.w bersabda, “Beritahulah kepada mereka bahawa Allah mewajibkan ke atas mereka zakat yang diambil dari golongan yang kaya dari kalangan mereka untuk diberikan kepada golongan yang miskin.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam konteks haji, salah satu syarat wajib haji ialah mempunyai kemampuan dan ia bermaksud memiliki bekalan dan kenderaan yang mencukupi. Syed Sabiq di dalam Fikh As-Sunnah berkata: “Bekalan yang dianggap cukup ialah mempunyai pakaian, tempat tinggal, kenderaan dan sara hidup yang mencukupi bagi kehidupan seseorang dan semua tanggungannya, bermula dari saat keberangkatannya ke Mekah sehingga dia kembali”. Jika harta dan sara hidup seseorang tidak mencukupi, ibadah haji tidak diwajibkan ke atasnya.

Perlaksanaan puasa Ramadan juga tidak dapat dipisahkan dari harta benda. Umat Islam diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah ke atas diri dan tanggungannya sebelum melaksanakan solat sunat hari raya. Tambahan dari itu, umat Islam juga digalakkan banyak bersedekah di musim Ramadan. Berhubung dengan ini, Nabi s.a.w pernah ditanya tentang sedekah yang paling baik. “Di tanya kepada Rasulullah tentang sedekah yang paling baik. Nabi s.a.w menjawab: Sedekah di bulan Ramadan.” (Riwayat Tarmuzi)

Ramai dari kalangan sahabat-sahabat Nabi s.a.w yang kaya raya. Sebagai contoh, ketika meninggal dunia, sahabat Zubair bin ‘Awwam ra memiliki beberapa bidang tanah, “termasuk sebidang tanah yang terkenal di Ghabah. Di samping itu beliau juga memiliki sebelas buah rumah di Medinah, dua di Basrah, sebuah rumah di Kufah dan sebuah di Mesir. Selepas dilunaskan hutang beliau, setiap seorang dari empat orang isteri-isteri beliau mendapat harta bernilai sejuta dua ratus ribu dirham dan nilai keseluruhan harta Zubair bin ‘Awwam ra ialah lima puluh juta dua ratus ribu (50,200,000) dirham.” (Riwayat Bukhari)

Leave a comment

Filed under Tarbiah

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s