Memahami isu masjid Cina Muslim

Oleh MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH

ISU pembinaan masjid Cina Muslim bergema kembali setelah senyap buat seketika. Terbaru, ada yang berpendapat bahawa pembinaan masjid Cina akan memecahbelahkan masyarakat kerana ia berasaskan kepada bangsa tertentu sahaja.

Masjid Cina dikatakan akan merosakkan keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini.

Persoalannya, tanpa masjid Cina ini pun, tidakkah kita sedar selama ini kita telah menghadapi masalah perkauman? Semua perkara berasaskan kepada semangat kebangsaan yang sempit. Tidak ada langkah-langkah positif diambil untuk mengendurkan masalah ini.

Sebagai contoh, boleh dikatakan dalam semua aspek kehidupan kita berbilang kaum bersifat perkauman, parti-parti politik perkauman. Kenapa kita biarkan perkara ini dalam sebuah negara berakarkan Melayu?

Kenapa tidak ada langkah-langkah diambil untuk menyatukan mereka dalam satu bumbung dalam semua hal. Realiti yang ada, semuanya bersifat perkauman. Kenapa hal-hal ini tidak dibangkitkan oleh kita sekian lama?

Hari ini isu masjid Cina sengaja tidak mahu difahami dengan jelas. Adakah disebabkan oleh masalah kefahaman, kekeliruan atau sebenarnya kita tidak tahu isu dakwah yang sebenarnya? Bayangkan, sekian lama orang Cina yang melebihi 26 peratus, tinggal di negara kita, tidak sampai satu peratus yang memeluk agama Islam? Kenapa? Sebab cara kita ‘menjual’ Islam itu terlalu bersifat perkauman, kemelayuan atau Kearaban. Islam tidak dianggap sebagai agama universal yang bersifat sejagat. Tetapi hanya berlegar sekitar soal bangsa dan bahasa.

Satu lagi persoalan, adalah seni bina masjid di negara kita hari ini bersenibinakan Melayu? Jawapannya sudah tentu tidak. Seni bina berbentuk bawang atau kubah adalah senibina ‘Moorish-Indian’ tidak ada kaitan dengan seni bina Melayu langsung. Kenapa orang Melayu boleh terima seni bina Moorish-Indian tetapi tidak dapat menerima senibina kaum lain. Adakah seni bina Cina ini bertentangan dengan Islam? Jika benar, sayalah orang yang pertama yang akan menolak senibina ini. Lagipun seni bina kubah agak tidak sesuai dalam sebuah negara yang menerima banyak hujan seperti negara kita.

Hari ini, boleh dikatakan kebanyakan masjid yang berkubah mengalami masalah kebocoran. Banyak wang ringgit habis digunakan untuk menyelenggara kubah yang bocor walaupun tidak dinafikan ia cantik dipandang.

Kita perlu sedar bahawa kejadian bangsa-bangsa ini adalah ciptaan Allah s.w.t tidak kira sama ada mereka Islam atau tidak. Firman Allah s.w.t

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kami berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal (Hujurat: 13) Ini bermakna senibina pun adalah anugerah Allah hasil kreativiti manusia ciptaan-Nya. Justeru, ia perlu saling diraikan antara satu sama lain selagi mana ia tidak bercanggah dengan syariat. Inilah keindahan Islam. Lagipun, ia adalah alat dakwah yang membawa makna yang cukup besar.

Kita tidak memerlukan 40 jemaah sebagai syarat untuk membina masjid Cina Muslim seperti yang digembar- gemburkan. Masjid Cina Muslim tidak semestinya dipunyai oleh masyarakat Cina Muslim sahaja. Prinsip asas masjid mesti difahami dengan jelas. Ia adalah kepunyaan semua orang Islam dan dalam konteks undang-undang, ia mesti diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Agama negeri-negeri.

Kita boleh namakan apa sahaja nama pada masjid tersebut. Apa yang dipinta ialah sebuah masjid yang mempunyai seni bina Cina (contoh, berupa pagoda) yang dapat menarik perhatian orang Cina bukan Islam untuk melawati masjid tersebut bagi mendapatkan penerangan mengenai Islam, menjadi pusat pelancongan dan pusat pemudah cara. Ini dapat memudahkan kita menerangkan kepada mereka tentang keindahan agama Islam sebenar yang bersifat universal dan tidak hanya dilihat hanya anutan kaum tertentu sahaja.

Utusan Online

Leave a comment

Filed under Isu

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s