Ibadah Melahirkan Pengurus Masa Yang Cemerlang

Pengurusan masa yang baik tidak dapat dipisahkan dari kecemerlangan. Sebenarnya, amal ibadah Islam amat mementingkan masa. Latihan-latihan yang terdapat di dalamnya mampu mendidik umat menjadi pengurus masa yang baik. Sebagai contoh, solat fardu yang diwajibkan ke atas setiap mukalaf juga dikenali sebagai solat waktu, kerana ia terikat dengan waktu-waktu tertentu. Mereka yang menjaga solat yang lima setiap hari perlu peka dengan waktu kerana solat yang dilakukan di luar waktu dengan sengaja dianggap sebagai tidak sah dan bakal mendatangkan dosa. Allah telah berfirman di dalam Al-Quran, “Maka datanglah selepas mereka pengganti (yang keji) yang mensia-siakan solat mereka serta mengikut hawa nafsu, maka kelak mereka akan menemui kesesatan..” (Surah Maryam ayat 59)

Berhubung dengan ayat ini, Abdullah ibn Abbas berkata: “Maksud ayat ‘mensia-siakan solat’ bukanlah meninggalkan solat sama sekali, tetapi melewatkannya dari waktunya”. Imam Said ibn Al-Musayyab mempunyai pendapat yang sama dengan Ibn Abbas. Beliau berkata, “Mereka melaksanakan solat zuhur di dalam waktu asar, solat asar di dalam waktu maghrib, solat maghrib di dalam waktu isyak, solat isyak ditangguhkan sehingga masuk waktu subuh dan solat subuh dilaksanakan selepas matahari terbit. Sesiapa yang mati di dalam keadaan ini tanpa bertaubat, dia akan dihumban masuk ke dalam sebuah lembah yang bernama ghay di dalam neraka dan diberikan makanan yang teramat jijik..”

Puasa Ramadan juga melatih umat Islam menjadi pengurus masa yang baik kerana sebelum berpuasa, mereka wajib pastikan terlebih dahulu tanggal satu Ramadan, sama ada dengan menggunakan sistem rukyah ataupun hisab. Selepas itu, umat Islam wajib berpuasa bermula dari masuknya waktu subuh sehingga masuknya waktu maghrib setiap hari selama sebulan. Jika seseorang Muslim berbuka puasa seminit lebih awal dari waktu maghrib, puasanya dianggap batal. Demikian juga, jika masuknya waktu subuh ialah pada jam 6.00 pagi, dan seseorang masih menjamah makanan secara sedar pada jam 6.01 pagi, puasanya juga dianggap batal. Seseorang muslim yang meninggalkan puasa Ramadan dengan sengaja dan ingin menggantikannya pada waktu yang lain, puasa gantiannya itu tidak lagi dipandang bernilai di sisi Allah. Semua ini melatih umat Islam menjadi golongan yang memandang penting ketepatan masa di dalam kehidupan mereka.

Ibadah zakat dan haji juga mempunyai latihan yang berkaitan dengan pengurusan masa. Sebagai contoh, zakat harta benda yang merangkumi binatang ternakan, tanam-tanaman, emas, perak serta barang perniagaan, wajib dikeluarkan apabila cukup nisab dan haulnya. Haul bermaksud genap setahun peredaran masa. Justeru untuk mengeluarkan zakat, seseorang perlu prihatin dengan masa di samping sentiasa mengemaskinikan rekod perniagaan dan harta bendanya. Perlaksanaan ibadah haji juga tidak terlepas daripada latihan pengurusan masa kerana ibadah ini hanya sah dilakukan pada bulan dan masa yang tertentu. Imam Bukhari telah meriwayatkan, Abdullah ibn Omar berkata, “Bulan-bulan haji ialah Syawal, Zulkaedah dan Zulhijah”. Jika seseorang terlewat wuquf di Arafah (iaitu waktu di antara gelincir dan terbenam matahari pada 9 Zulhijah), hajinya dikira tidak sah.

Kesan dari perlaksanaan ibadah-ibadah ini, akan lahirlah umat yang produktif yang tidak akan membuangkan masa mereka di dalam perkara yang tidak berfaedah. Allah berfirman, “(Di antara sifat orang mukmin yang berjaya) ialah, mereka berpaling dari melakukan perkara yang sia-sia..” (Surah Al-Mukminun ayat 3)

“Perkara yang sia-sia” yang dimaksudkan di dalam ayat ini, mengikut Ibn Kathir di dalam kitab Tafsir Al-Quran Al-Azim ialah, “segala perkara yang batil merangkumi perbuatan syirik, maksiat serta perbuatan dan perkataan yang tidak mendatangkan sebarang faedah.”

Berhubung dengan kaedah pengurusan masa, Imam Abul Laith As-Samarkandi, di dalam kitab Tanbihul Ghafilin mendatangkan riwayat dari Sayidina Ali yang berkata, “Seharusnya mereka yang berakal tidak bersungguh-sungguh melainkan di dalam tiga perkara, iaitu, berusaha untuk keperluan hidupnya, beramal untuk hari kemudian dan bersuka-suka di dalam perkara yang tidak haram”.

Berhubung dengan perkara yang sama, Imam Al-Ghazali di dalam Ihya Ulumuddin berkata, “Apabila telah jelas kepadamu tentang bahaya kematian yang keji (su-ul khatimah), hendaklah kamu keluarkan dari hatimu perasaan cinta kepada dunia dan berikanlah tumpuan kepada zikrullah. Anggota jasadmu hendaklah dijaga agar tidak melakukan maksiat dan hatimu hendaklah dijauhkan dari memikirkan tentangnya. Peliharalah matamu dari melihat maksiat kerana ia akan memberi kesan negatif kepada hatimu. Jangan ditangguhkan kerja-kerja ini ke masa hadapan kerana berkemungkinan nyawamu akan dicabut ketika kamu sedang menangguhkannya……. Awasilah setiap detik hidupmu. Jangan kamu lupakan Allah walaupun seketika kerana apabila itu berlaku kamu sebenarnya berada di dalam keadaan yang amat berbahaya. Sesungguhnya semua manusia berada di dalam kebinasaan kecuali mereka yang berilmu. Orang-orang yang berilmu berada di dalam kebinasaan kecuali mereka yang beramal. Mereka yang beramal juga berada di dalam kebinasaan kecuali golongan yang ikhlas. Golongan yang ikhlas ini pun masih belum selamat sepenuhnya dari bahaya besar di sisi Allah… Semua ini akan membebankan kamu kecuali jika kamu mengambil daripada dunia sekadar keperluannya sahaja..”

B. Eugene Griessman, pengarang buku Time Tactics Of Very Successful People telah mengatakan sesuatu yang ada kebenarannya, iaitu, “manusia yang berjaya dan yang tidak berjaya, semuanya memiliki 24 jam sehari. Yang membezakan mereka ialah, cara mereka memanfaatkan 24 jam itu.”

Umat Islam sebenarnya memiliki potensi untuk menjadi golongan yang berjaya kerana agama Islam sentiasa mengaitkan kebaikan iman seseorang dengan kemampuannya untuk mengurus masa dengan baik. Abdullah ibn Omar ra berkata, ‘Apabila kamu berpetang, janganlah kamu menanti pagi dan apabila kamu berada di pagi hari janganlah kamu menanti petang…’ (Riwayat Bukhari)

Suka menangguhkan kerja serta amal bukanlah tabiat mereka yang sempurna imannya. Imam An-Nawawi ialah seorang insan produktif yang boleh dijadikan contoh yang baik di dalam aspek pengurusan masa. Di dalam kitab Dalilul Falihin diriwayatkan, Imam An-Nawawi dilahirkan pada tahun 631 hijrah dan meninggal pada tahun 676 hijrah, ketika berumur 45 tahun. Beliau mengkaji lebih kurang dua belas subjek agama setiap hari dengan tokoh-tokoh ilmu ketika itu. Beliau menjamah makanan sehari sekali, iaitu lewat malam selepas selesai melaksanakan solat isyak, dan minum air juga sehari sekali, pada waktu sahur di sebelah pagi. Imam An-Nawawi banyak menghabiskan masa untuk mendidik masyarakat di samping mengajak umat Islam kepada makruf dan mencegah kemungkaran. Beliau juga merupakan seorang penulis yang gigih dan sempat menulis dua puluh tiga buah buku semuanya, dan ketika meninggal dunia lima daripadanya tidak sempat beliau habiskan. Tulisan-tulisan beliau telah dimanfaatkan oleh umat Islam hinggalah ke hari ini.

Bandingkan kisah ini dengan apa yang berlaku di Malaysia. Pada bulan Mei, 1996, Kementerian Belia dan Sukan melaporkan satu kajian mengenai kecenderungan remaja-remaja di Malaysia membuang masa secara melepak. Kajian itu mendapati, remaja yang berumur di antara 16-18 tahun mempunyai kecenderungan yang lebih tinggi untuk melepak dengan kadar 15.8 jam seminggu berbanding remaja yang berumur 12-15 tahun, iaitu, 14.4 jam seminggu. Sebenarnya, mereka yang tidak menghargai masa ialah mereka yang tidak menghargai kehidupan.

Leave a comment

Filed under Motivasi Al-Quran

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s