Akhlak Mulia Tidak Penting?

“Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela.” (Al-Humazah 104:1)

‘Philippine Daily Inquirer’ (3 Oktober, 1995), telah melapurkan tentang seorang suami, Ricardo de la Gracia, yang dek kerana marah kepada isterinya, telah membakar rumahnya, dan menyebabkan 70 rumah-rumah lain di Manila terbakar dan musnah. Kerosakan dianggarkan bernilai lebih kurang RM480,000.

Akhlak tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan. Akhlak yang keji seringkali mendatangkan kemudaratan ke atas diri sendiri, keluarga dan juga masyarakat. Justeru itu, pekerti mulia merupakan perkara yang begitu penting dan utama sehingga Nabi telah menegaskan:

“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Ahmad & Baihaqi dari Abu Hurairah)

Di dalam Islam akhlak merupakan suatu sistem yang mencakupi semua aspek dan bidang.

Contohnya, di sudut peribadi, keikhlasan diwajibkan di samping kejujuran, kesabaran dan kecekalan. Sebagai contoh, Nabi telah menekankan tentang niat yang bersih dalam semua perlakuan:

“Sesungguhnya setiap amal itu berserta dengan niat dan bagi setiap orang mengikut apa yang diniatkannya.” (Bukhari-Muslim)

Di dalam aspek kekeluargaan, amanah dan sifat bertanggungjawab amat ditekankan di samping pemurah, kasih sayang dan belas kasihan. Nabi telah menegaskan:

“Barangsiapa yang berkata kepada anaknya: kemari (agar ku berikan sesuatu)…kemudian tidak diberikannya, dia adalah seorang pendusta.”(Ahmad & Ibn Abi Dunya)

Di dalam konteks kemasyarakatan, kejujuran, budaya tolong menolong dalam kebaikan, bermaaf-maafan, berbaik sangka dan menghormati hak orang lain dipandang penting oleh agama. Baginda telah bersabda:

“Adalah haram bagi seseorang Muslim ke atas Muslim yang lain darahnya, hartanya dan kehormatannya.” (Muslim)

Di dalam aspek kenegaraan, seseorang pemimpin perlu beramanah, bersikap adil, berani dan tegas di atas kebenaran. Baginda telah memberi amaran keras kepada pemimpin yang zalim:

“..Dan sesungguhnya manusia yang paling Allah murkai di hari Kiamat dan mendapat azab yang paling dahsyat ialah Imam (pemimpin) yang menyeleweng.” (Tarmizi – Hasan Gharib)

Akhlak juga ditekankan di dalam bidang ekonomi. Justeru itu penindasan, penipuan dan khianat, dilarang oleh Islam sekaligus, riba di haramkan ketika bermuamalah. Allah berfirman:

“Orang-orang yang memakan riba tidak akan dibangkitkan melainkan seperti bangunnya orang yang kerasukan syaitan dek kerana penyakit gila.” (Al-Baqarah 2:275)

Malah ketika sedang berperang sekalipun, akhlak diwajibkan. Amatilah amanat Baginda kepada tentera-tentera Islam:

“Berperanglah dengan Bismillah dan kepercayaan kepada Allah serta di atas landasan Rasulillah. Jangan kamu bunuh orang-orang tua yang sakit, kanak-kanak yang masih kecil dan wanita-wanita dan juga jangan khianat. Ambillah harta rampasanmu dan buatlah kebaikan dan kebajikan. Allah suka kepada mereka yang melakukan kebaikan.” (Abu Daud)

Ketika berdakwah, kelantangan suara saja tidak mencukupi. Contoh-contoh yang baik yang merupakan manifestasi daripada akhlak yang mulia memberi saham yang amat positif kepada keberkesanan dakwah. Allah memuji Rasulullah kerana kehalusan akhlak Baginda ketika berdakwah:

“Dengan rahmat daripada Allah maka kamu berlemah lembut terhadap mereka. Andaikata kamu bersikap keras lagi berhati kasar nescaya mereka akan menjauhkan diri daripadamu.” (Ali-Imran 3:159)

Pendakwah yang tidak berakhlak akan merusakkan imej Islam, tidak kira samaada berdakwah melalui penulisan, percakapan, IT dan lain-lainnya. Kerendahan budi pendakwah telah mendatangkan banyak keburukan ke atas perjuangan Islam. Justeru itu Imam Abul Laith As-Samarqandi di dalam ‘Tanbihul Ghafilin’ pada bab ‘Amar Makruf Nahi Munkar’ telah menasihati para pendakwah dengan berkata:

“Hendaklah seseorang yang hendak mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran memperlengkapkan dirinya dengan lima perkara:

• Berilmu.

• Ikhlas.

• Menggunakan pendekatan kasih sayang tanpa kekerasan.

• Bersabar.

• Mengamalkan apa yang diseru.”

Justeru itu silaplah kita andaikata kita meremehkan aspek akhlak ini apatah lagi ketika sedang berjuang untuk menegakkan kalimahNya. Baginda merupakan contoh yang terbaik untuk diikuti. Allah berfirman tentang Baginda:

“Dan sesungguhnya kamu mempunyai akhlak yang mulia.” (Al-Qalam 68:4)

Akhlak yang keji akan membawa seseorang kepada kehancuran.

“Pernah diceritakan kepada Nabi tentang keelokkan amal seorang wanita yang berpuasa di siang hari dan mengerjakan solat di malam hari tetapi akhlaknya keji. Dia suka menyakiti jiran dengan lidahnya. Nabi bersabda: Dia termasuk ahli neraka.” (Ahmad & Al-Hakim)

Benarlah Imam Al-Ghazali ketika beliau berkata:“(Akhlak yang keji itu) umpama racun yang membunuh dan membinasakan.” (Ihya Ulumuddin)

Muga-muga ia tidak menjangkiti untuk membunuh dan membinasakan amalan dan perjuangan kita pada hari ini.

Wassalam.

Leave a comment

Filed under Tarbiah

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s