Ayat Di Alam Semesta

Seperti yang disebutkan sebelum ini, salah satu maksud bagi kalimat ayat dalam bahasa Arab ialah tanda atau bukti. Justeru, selepas penguasaan ayat al-Quran, ayat kedua yang perlu dikuasai ialah ayat-ayat yang tersembunyi di alam semesta. Ayat-ayat ini merupakan tanda serta bukti tentang kekuasaan Allah yang tersembunyi di alam semesta. Untuk mencapai tujuan ini umat Islam perlu mengkaji alam ini secara sistematik. Inilah yang tersirat di sebalik firman Allah yang terdapat dalam surah al-Ghasyiah ayat 17-20 yang bermaksud, “Apakah mereka tidak melihat kepada unta bagaimana ianya diciptakan. Dan langit bagaimana ia ditinggikan. Dan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan. Dan bumi bagaimana ia dihamparkan.”

Pengkajian tentang rahsia-rahsia alam memerlukan akal yang tajam lagi kritis. Berhubung dengan ini dalam surah al-Mukminun ayat 80 Allah berfirman, “Dialah yang menghidupkan dan mematikan, dan Dialah yang (mengatur) pertukaran malam dan siang. Apakah kamu tidak berfikir tentangnya?”

Ilmu yang diperoleh daripada kajian-kajian ini mampu melahirkan pengagungan terhadap Allah sekali gus meningkatkan pengabdian kepadanya. Berhubung dengan ini, Imam Ibn Kathir dalam kitab Tafsir Al-Quran Al-Azim berkata, “Sebahagian ulama berpendapat, sesiapa yang mengamati langit yang luas dengan bintang-bintang, bulan dan matahari yang beredar di atas paksinya tanpa henti, kemudian memerhatikan laut yang mengelilingi tanah daratan, kemudian memerhatikan bumi serta gunung ganang yang terpancang di atasnya, kemudian memerhatikan sungai yang mengalir… di samping pelbagai jenis haiwan serta tumbuh-tumbuhan, akan memperoleh bukti tentang kewujudan Tuhan Yang Maha Pencipta lagi Maha Agung dan Maha Bijaksana.”

Justeru, golongan pengkaji dimuliakan Allah dan Dia menggelar mereka sebagai ulul albab. Dalam surah Ali-Imran ayat 190-191 Allah berfirman, “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi ulul albab. (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka banyak berfikir tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata, ‘Wahai Tuhan kami Kamu tidak menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada seksa neraka’.”

Ulul albab ialah golongan yang menggunakan akal dengan sempurna untuk mengkaji sehingga mampu meletakkan segala perkara pada perspektifnya yang betul. Mereka mementingkan zikir dan fikir. Dalam konteks fikir, mereka suka mengkaji fenomena-fenomena yang berkaitan dengan kejadian alam. Pada hari ini para saintis yang bertakwa kepada Allah boleh dikategorikan sebagai golongan ulul albab.

ISLAM PEMANGKIN SAINS

Penghormatan yang Allah berikan kepada golongan yang suka mengkaji alam, sehingga menggelar mereka sebagai ulul albab, amat signifikan bagi umat Islam. Ia merupakan rangsangan yang istimewa daripada Allah agar umat Islam mendekati alam untuk mengkajinya. Dengan itu ketakwaan mereka kepada Allah akan meningkat. Secara khusus, antara ciri yang terdapat pada ulul albab ialah suka mengkaji dan bertafakur tentang penciptaan langit dan bumi. Pada hari ini golongan yang banyak mengkaji tentang kejadian langit dan bumi ialah pakar-pakar sains dalam bidang astronomi dan astrofizik. Justeru, ayat 190 dalam surah Ali Imran berhubung ulul albab merangsang umat Islam agar menjadi saintis. Saintis yang mahu dihasilkan mengikut formula al-Quran ialah saintis yang mengingati Allah di mana saja dia berada. Bukannya saintis yang ateis.

Al-Quran sememangnya mahu umat Islam memiliki minda yang saintifik. Minda yang saintifik merupakan minda yang kuat berfikir, kritikal, mampu menganalisis data dan fakta, serta mampu membuat andaian dan kemudiannya konklusi terhadap apa yang dicerap. Minda saintifik menolak sebarang laporan dan pandangan yang tidak berlapikkan bukti dan dalil.

Sebenarnya minda seperti inilah yang mahu dilahirkan oleh Islam kerana Islam menyuruh umatnya agar tidak mengikut sesuatu yang tidak bersandarkan bukti dan dalil. Dalam surah al-Israk ayat 36 Allah berfirman, “Janganlah kamu mengikut apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya.”

Berhubung dengan ayat ini, Syed Qutub berkata dalam Fi Zilal al-Quran, “Janganlah kamu mengikut sesuatu tanpa berpandukan ilmu yang meyakinkan dan (janganlah mengikut sesuatu) yang tidak terbukti kesahihannya.”

Leave a comment

Filed under Menerokai Islam

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s