Bukti Wanita Mulia Dalam Islam

Allah tidak pernah menghina atau memuliakan makhluk-makhlukNya berdasarkan jantina. Sebaliknya kemuliaan seseorang adalah berdasarkan ketakwaan nya kepada Allah. Berhubung dengan ini, di dalam surah Al-Hujurat ayat 13 Allah berfirman: ‘Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa di antara kamu.’

Wanita dan lelaki adalah sama di sisi Allah sebagai hamba Allah. Jika seseorang wanita beriman dan beramal salih dia diganjar Allah dan diletakkan di tempat yang tinggi. Dalam surah Ali-Imran ayat 195 Allah berfirman yang bermaksud: ‘Sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amalan orang-orang yang beramal di antara kamu baik lelaki ataupun wanita kerana sebahagian kamu adalah keturunan dari sebahagian yang lain.’

Wanita yang bertakwa mendapat pembelaan daripada Allah. Ketika Maryam ibu Nabi Isa mengandung, masyarakat sekeliling mengutuk beliau tetapi Allah membela dan memuliakan beliau melalui firmanNya di dalam surah Ali-Imran ayat 42 yang bermaksud: ‘Dan (ingatlah) ketika malaikat (Jibrail) berkata: ‘Hai Maryam, sesungguhnya Allah telah memilihmu, menyucikan kamu dan melebihkan kamu atas segala wanita di dunia (yang hidup semasa dengan kamu).’

Demikian juga yang berlaku ke atas ibu nabi Musa. Ketika Firaun bertindak kejam membunuh anak-anak lelaki Bani Israil, ibu nabi Musa berasa bimbang tentang keselamatan anaknya. Allah memuliakan beliau dengan menenteramkan jiwa beliau melalui firmanNya yang bermaksud: ‘Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa: ‘Susuilah dia dan apabila kamu khawatir ke atas keselamatannya letakkanlah ia di atas sungai (Nil). Dan janganlah kamu bimbang dan janganlah pula bersedih hati kerana Kami akan mengembalikannya kepadamu dan menjadikannya (salah seorang) dari para rasul.’ Kenyataan ini disebutkan di dalam surah Al-Qasas ayat 7.

Pandangan dan sikap yang baik walaupun datang dari wanita, dimuliakan Allah. Di dalam surah Al-Qasas ayat 26, Allah memuliakan anak perempuan Nabi Syuaib dengan merakamkan pandangan beliau yang amat bernilai berhubung aspek pengurusan. Allah berfirman: ‘Dan salah seorang dari kedua wanita itu berkata: ‘Wahai bapaku ambillah dia (Musa) sebagai pekerja kita kerana sesungguhnya orang yang paling baik untuk dijadikan pekerja ialah seorang yang gagah lagi dapat dipercayai.’

Al-Quran juga merakamkan kebijaksanaan kepimpinan permaisuri negeri Saba, Balqis, di dalam surah An-Naml ayat 33 dan 34: ‘Mereka (para pembesar negeri Saba) berkata: ‘Kita mempunyai kekuatan dan keberanian yang cukup, namun urusan ini terserah kepadamu. Justeru, perhatikanlah apa yang hendak kamu perintahkan’. Permaisuri (Balqis) berkata: ‘Raja-raja, apabila memasuki sesebuah negeri akan merosakkan negeri itu dan menjadikan penduduk yang mulia hina. Itulah yang akan mereka lakukan.’

Islam tidak mengizinkan wanita dikotak-katikkan oleh golongan lelaki. Dalam surah an-Nisak Allah menegaskan, ‘Wahai orang yang beriman, janganlah kamu memusakai wanita secara paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk mengambil sebahagian apa yang telah kamu berikan..’

Para suami diperintahkan Allah supaya menjaga isteri-isteri mereka dengan baik dan tidak menjadikan isteri-isteri seperti bola yang boleh ‘ditendang’ ke sana ke mari. Jika si isteri mempunyai kelemahan, si suami juga mempunyai kelemahan.

Allah menyuruh si suami melihat kebaikan yang banyak yang ada pada isteri dan tidak hanya memfokuskan kepada satu dua kelemahan yang ada. Hal ini disebutkan dalam surah an-Nisak ayat 19: ‘Pergaulilah isterimu dengan cara yang makruf. Jika kamu tidak senang dengan mereka maka bersabarlah kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu tentang mereka tetapi Allah menjadikan kebaikan yang banyak padanya.’

Wanita ada suara dalam Islam dan suara mereka dimuliakan Allah. Di zaman nabi, sahabat yang bernama Aus telah menyamakan badan isterinya, Khaulah, dengan badan ibunya (zihar). Perbuatan ini amat tidak disenangi oleh isterinya lantas beliau mengadu hal ini kepada nabi. Allah menurunkan wahyu berhubung perkara ini dalam surah Al-Mujadalah ayat 1-2: ‘Sesungguhnya Allah mendengar suara perempuan yang mengadu kepadamu tentang suaminya, dan dia telah mengadu kepada Allah..’

Menzalimi wanita adalah dilarang oleh Islam. Di zaman jahiliah adalah menjadi perkara biasa jika bayi-bayi perempuan ditanam hidup-hidup demi untuk memelihara keluarga dari aib dan malu. Islam menentang adat resam ini melalui firman Allah di dalam surah At-Takwir ayat 8 dan 9 yang bermaksud: ‘Dan apabila bayi-bayi perempuan yang ditanam hidup-hidup ditanya, kerana dosa apakah maka dia dibunuh?’ Untuk menampakkan penentangan kepada sistem jahiliah yang menghina kaum wanita, Nabi bersabda: ‘Sesiapa yang memiliki tiga orang puteri atau tiga saudara perempuan, atau dua orang puteri atau dua saudara perempuan, lalu dididiknya mereka dan dijaganya mereka dengan baik kemudian dikahwinkan mereka, baginya syurga.’ Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Abu Daud.

Kesemua ini adalah bukti yang jelas yang menunjukkan betapa Al-Quran dan Islam memuliakan kaum wanita. Justeru, pada hari ini, makin ramai wanita di Barat yang memeluk Islam. Perkembangan ini dinyatakan oleh Lucy Berrington di dalam majalah Times terbitan 9 November 1993 di bawah tajuk The Spread of a World Creed. Beliau berkata, ‘Statistik menunjukkan bagi setiap lima orang yang memeluk Islam di Amerika empat daripada mereka adalah wanita. Di Britain, di antara wanita yang memeluk Islam ialah anak perempuan kepada hakim yang terkenal, Lord Scott.’

Laporan Columbia News Service (Agensi Berita Columbia) oleh Nevine Mabro pula menunjukkan, ‘Semakin ramai wanita Amerika keturunan Sepanyol memeluk Islam kerana tertarik dengan kemurnian ajarannya.’

WANITA DIMULIAKAN DI ZAMAN SAHABAT DAN SELEPASNYA

Pada zaman Nabi Muhammad, khalifah yang empat serta era kegemilangan empayar Islam, wanita dihargai dan diletakkan di tempat yang tinggi. Antara contoh-contohnya ialah:

Berpandukan hadis Muslim Nabi Muhammad mendoakan agar Ummu Haram, iaitu isteri sahabat Ubadah bin Shamit, dapat keluar berperang di lautan bersama-sama dengan tentera-tentera Islam yang lain. Ia menunjukkan, Nabi mengiktiraf sumbangan wanita Islam di luar rumah.

Ketika berlaku Perjanjian Hudaibiyah Nabi Muhammad mengarahkan sahabat-sahabat mencukur rambut dan menyembelih binatang ternakan sebelum kembali ke Madinah. Lantaran terlalu sedih kerana dihalang oleh golongan Quraisy dari melakukan Haji, tidak ada seorang sahabat pun yang bangun untuk melaksanakannya. Melihat keadaan itu Ummu Salamah menasihati Rasulullah agar melakukannya terlebih dahulu kerana beliau yakin selepas Baginda melakukannya sahabat-sahabat pasti menuruti baginda.

 Nabi Muhammad membenarkan pandangan Ummu Salamah dan mematuhi nasihat isterinya. Apabila di amati insiden ini kita boleh mengatakan Ummu Salamah ketika itu berkedudukan seperti seorang penasihat kepada seorang pemimpin negara.

Al-Quran merupakan wahyu Allah. Pada zaman Nabi, Al-Quran dihafaz dan ditulis oleh sekumpulan sahabat. Pada zaman khalifah Abu Bakar, tulisan-tulisan Al-Quran dihimpunkan dan disimpan oleh beliau. Selepas kematian khalifah Abu Bakar, khalifah Omar menyimpannya dan selepas kematiannya himpunan ini diserahkan kepada Ummul Mukminin, Hafsah, sebelum beliau menyerahkannya kepada khalifah Uthman untuk ditulis semula dan dibukukan. Kejadian ini melambangkan kemuliaan wanita Islam serta kepercayaan Islam kepada wanitanya, kerana Hafsah diberikan kepercayaan supaya menyimpan sumber rujukan utama Islam.

Di zaman khalifah Omar, beliau melantik seorang wanita bernama Ummul Syifa binti Abdullah menjadi penyelia pasar di Madinah. Jika dibandingkan jawatannya dengan suasana hari ini, tugas ini boleh disamakan dengan tugas seorang ketua pengarah di kementerian hal ehwal pengguna.

Pada suatu ketika, khalifah Omar menyampaikan khutbah di atas mimbar dan beliau menjelaskan tentang penetapan kadar mahar agar ia tidak begitu tinggi. Seorang wanita bangun untuk menegur khalifah Omar kerana, pada pandangan wanita itu, tindakan untuk hadkan kadar mahar bercanggah dengan ketetapan Al-Quran. Selepas mendengar hujah wanita itu, khalifah Omar terus berkata, “Wanita itu betul dan lelaki ini (iaitu Omar) salah.” Riwayat ini menunjukkan penglibatan kaum wanita dalam sistem kepimpinan dan politik negara adalah penting seiring dengan kaum lelaki.

Hadis adalah sumber hukum Islam yang kedua selepas Al-Quran. Antara wanita Islam yang diiktiraf sebagai perawi hadis ialah Karimah Al-Mirwaziah dan As-Sayyidah Nafisah binti Muhammad. Salah seorang perawi hadis yang terkenal, Al-Hafiz ibn Asakir, pernah berkata, kaum wanita merupakan sebahagian daripada syekh dan guru yang telah mendidiknya. Imam Bukhari memandang tinggi sumbangan kaum wanita dalam Islam sehinggakan beliau meletakkan satu bab khas yang bertajuk, “Bab Peperangan Wanita Dan Perjuangan Mereka” dalam kitab Sahih Bukhari.

Kaum wanita yang berilmu tinggi boleh mengeluarkan fatwa berhubung hukum hakam Islam. Di zaman Nabi serta sahabat, peranan Aisyah amat menonjol sekali di sudut ini. Beliau bukan saja mampu mengeluarkan fatwa malah kadangkala beliau membetulkan pandangan serta fatwa yang dikeluarkan oleh sahabat-sahabat Nabi yang lain.

Contoh yang lain ialah anak perempuan kepada Imam ‘Alauddin al-Samarqandi al-Hanafi yang bernama Zainab. Beliau sering kali menyampaikan fatwa tentang persoalan agama bersama-sama dengan bapanya. Beliau kemudiannya dikahwinkan dengan seorang ulama mazhab Hanafi yang bernama Imam Al-Kasani., pengarang kitab Al-Badaii’ As-Sonaii.

Semua ini merupakan dalil-dalil kukuh yang menunjukkan wanita dalam Islam mempunyai peranan yang penting dalam pembangunan sesebuah masyarakat. Walau bagaimanapun tugas-tugas ini tidak sepatutnya dijadikan alasan oleh kaum wanita untuk mengabaikan tugas utamanya sebagai isteri dan ibu yang bakal melahirkan cahaya mata bernilai bagi umat.

Tugas ini tidak dapat diambil alih oleh kaum lelaki dan ia merupakan suatu tugas yang amat mulia. Namun tugas kaum wanita bukanlah sekadar itu. Islam tidak pernah menghalang kaum wanita yang ingin berperanan di penjuru-penjuru lain selagi mana batas-batas agama dan landasan keutamaan dijaga.

1 Comment

Filed under akademik

One response to “Bukti Wanita Mulia Dalam Islam

  1. Pingback: Anuar Blog » Blog Archive » Bukti Wanita Mulia Dalam Islam

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s