Muhasabah Dan Taubat

ber.JPG

 Takwa mempunyai baja-bajanya dan apabila ramuan-ramuan yang sesuai digunakan, takwa akan hidup dengan suburnya. Antara baja yang diperlukan untuk kesuburan takwa ialah muhasabah dan taubat.

Umat Islam perlu berani merenung ke dalam diri dan melakukan muhasabah ke atas diri sendiri. Khalifah Omar ibn Khattab pernah berkata, “Muhasabahlah serta hitunglah dirimu sebelum kamu dihitung oleh Allah.”

Mereka yang berani melakukan muhasabah dan kemudiannya membuat perubahan yang positif ke atas diri sendiri, merekalah orang-orang yang akan berjaya. Dalam surah Ali Imran ayat 135, Allah memuji golongan yang sanggup kembali ke pangkal jalan selepas terbabas melakukan kesilapan. Allah mengiktiraf mereka sebagai golongan yang bertakwa. Allah berfirman, “Mereka (yang bertakwa) ialah golongan yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, mereka ingat kepada Allah dan memohon ampun di atas dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Allah. Mereka tidak meneruskan perbuatan keji itu sedang mereka mengetahui.”

Muhasabah yang dilakukan dengan ikhlas akan melahirkan keinsafan di hati. Keinsafan akan melahirkan taubat. Taubat yang hakiki dikenali sebagai taubat nasuha. Omar Al-Khattab dan Ubai bin Kaab mentafsirkan taubat nasuha sebagai “meninggalkan dosa dan tidak akan kembali melakukannya sebagaimana susu tidak akan kembali ke payu dara.”

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda nabi berhubung seorang lelaki di zaman dahulu yang telah membunuh seratus orang lelaki. Beliau akhirnya bertaubat dan sebelum sempat melakukan sebarang kebaikan telah meninggal dunia. Allah menerima taubatnya dan memasukkannya ke dalam rahmatNya.

Di zaman nabi, seorang wanita telah melakukan zina dan dengan penuh penyesalan telah menceritakan tentang perbuatannya itu kepada nabi. Beliau pun dihukum oleh nabi. Selepas beliau meninggal dunia, nabi melaksanakan solat jenazah ke atas mayatnya. Perbuatan nabi ini memelikkan Omar Al-Khattab lantas Omar pun bertanya, “Kamu bersembahyang ke atas mayatnya sedangkan beliau pernah berzina?” Nabi menjawab, “Dia telah bertaubat dengan satu taubat yang andai kata diagihkan taubat itu kepada tujuh puluh orang ahli-ahli maksiat di Madinah (yakni orang-orang munafik), nescaya ia mencukupi bagi mereka.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Mengikut satu riwayat oleh Kalbi, “Dua orang sahabat, seorang dari Ansar dan seorang lagi dari Bani Thaqif, telah dipersaudarakan oleh nabi. Hubungan antara mereka berdua cukup mesra dan pada suatu hari sahabat dari Ansar telah keluar berperang bersama nabi. Beliau mengamanahkan sahabat beliau dari Bani Thaqif untuk menjaga isterinya ketika beliau tiada. Kesemuanya berjalan dengan baik seperti yang dirancang. Namun pada suatu hari ketika sahabat dari Bani Thaqif menziarahi rumah sahabatnya untuk meninjau keadaan isteri sahabatnya, beliau ternampak wanita itu dalam keadaan yang terdedah auratnya. Beliau terus masuk ke dalam rumah dan secara spontan terus menyentuh muka isteri sahabatnya serta mencium tangannya. Tiba-tiba beliau berasa malu atas perbuatannya dan terus melarikan diri ke atas bukit. Di situ beliau menjerit dan menangis meminta ampun kepada Allah tanpa henti. Apabila sahabatnya kembali dari medan perang isterinya menceritakan tentang apa yang berlaku dan berita ini kemudiannya sampai kepada nabi. Akhirnya Jibrail pun datang menyampaikan wahyu daripada Allah, iaitu ayat 135 dari surah Ali-Imran, yang telah disebutkan sebelum ini iaitu, “Mereka (yang bertakwa) ialah golongan yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, mereka ingat kepada Allah dan memohon ampun di atas dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Allah. Mereka tidak meneruskan perbuatan keji itu sedang mereka mengetahui.”

Justeru Allah mengasihi mereka yang berani mengakui kesalahan diri sendiri dan bertaubat Ia adalah langkah penting menuju kejayaan dunia dan akhirat. Dalam Risalah Qusyairiyah, Imam Qusyairi berkata, “Taubat ialah langkah permulaan bagi mereka yang ingin berjalan mencari keredaan Allah.”

Leave a comment

Filed under Siraman Kalbu

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s