Kepalsuan Cerita ‘Aisyah Disalak Anjing Hau’ab

Hampir tidak ada penulis sejarah peristiwa peperangan Jamal tidak menghiaskan tulisannya dengan kisah Syaidina Aisyah r.a. disalak anjing Hau’ab. Kisah ini bukan saja menjadi penyeri majlis kuncu-kuncu Ibnu Saba’ tetapi juga telah disambut baik oleh masyarakat Ahlus Sunnah Wal Jamaah; satu bukti yang kononnya menunjukkan kebenaran di pihak Sayyidina Ali dan kebatilan di pihak lawannya di dalam peperangan Jamal itu.

Peristiwa itu ditonjolkan sebagai Mukjizat Nabi s.a.w. kerana ia merupakan ramalan tepat Baginda terhadap satu peristiwa yang belum berlaku dan serentak dengan itu ia menunjukkan betapa jauhnya tersasul isteri kesayangan Rasulullah s.a.w. dari landasan kebenaran selepas kewafatan Baginda s.a.w.

Mereka hairan bagaimana Sayyidatina Aisyah telah melanggar arahan Rasulullah s.a.w. supaya tetap di rumah, tidak ke mana-mana lagi selepas kewafatan Baginda. Bagaimana pula Sayyidatina Aisyah Ummul Mu’minin meninggalkan pesanan Rasulullah s.a.w. itu? Bukan kecil-kecil pelanggaran tetapi bangkit memimpin satu angkatan bala tentera yang besar untuk menentang Khalifah umat Islam yang sudah pun terlantik secara sah.

Mereka mengaitkan juga dengan kegagalan Sayyidatina Aisyah di dalam peperangan Jamal itu dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“ Sekali-kali tidak akan berjaya golongan yang dipimpin oleh seorang perempuan”.

Maka kenapa pula telah menjadi terlalu bodoh ( Wal’ iyazubillah ) semua sahabat-sahabat besar Rasulullah s.a.w. seperti Thalhah, Zubair dan lain-lain kerana telah menurut atau mempergunakan seorang perempuan untuk kepentingan politik dan kekuasaan.

Mereka menerima kisah ini turun temurun sehingga sudah menjadi sebati dan melekat dengan kuat sekali dalam fikiran mereka.

Banyak sekali kisah-kisah yang tersebar di kalangan umat Islam dari dahulu hingga sekarang adalah hasil ciptaan golongan anti sahabat. Tujuan mereka ialah untuk memburuk-burukkan para sahabat supaya dengan keburukan yang disampaikan itu mereka tidak lagi dianggap generasi contoh oleh umat yang datang kemudian.

Cerita-cerita yang memburuk-burukkan para sahabat itu ditaburkan dengan keras sekali oleh ahli-ahli sejarah yang sebenarnya merupakan pengikut-pengikut Ibn Saba’ yang berselindung sebagai sejarawan Islam. Maka kerana itulah kita dapati bertaburan kisah seperti ini di dalam buku-buku sejarah yang ditulis oleh sejarawan Islam sendiri seperti At-Thabari dan lain-lain lagi.

Golongan Saba’iyyah ini tidak sanggup menerima kenyataan persefahaman yang mungkin berlaku di antara khalifah umat Islam pada ketika itu, Sayyidina Ali bin Abi Talib dengan golongan yang dipimpin oleh Thalhah, Zubair dan Sayyidatina Aisyah di satu pihak yang lain. Sekiranya berlaku persefahaman itu bererti golongan Saba’iyyah yang terlibat dalam pembunuhan Khalifah Islam yang ketiga (Utsman r.a.) akan ditangkap dan dibunuh.

Di sini kita hanya akan menyorot peristiwa Sayyidatina Aisyah r.a yang dikatakan telah disalak oleh Anjing Hau’ab itu dalam perjalanannya dari Mekah ke Basrah demi mencari persefahaman yang diidam-idamkan oleh setiap umat Islam pada ketika itu, dengan tidak lagi mencurahkan tenaga untuk membincangkan sama ada rombongan Sayyidatina Aisyah bersama dengan Thalhah dan Zubair itu keluar dengan tujuan perang atau mencari titik persefahaman di antara pihak mereka dengan pihak Sayyidina Ali yang mana bersembunyi di belakangnya ramai sekali orang-orang yang terlibat dalam pembunuhan Sayyidina Utsman.

Begitu juga tentang apa yang dikatakan peperangan Jamal itu sendiri sama ada ia adalah suatu perang yang dirancang sejak awal lagi atau ia suatu yang dicetuskan secara tiba-tiba oleh pembunuh-pembunuh Sayyidina Utsman yang terasa terancam dengan keberangkatan umat Islam yang dipimpin oleh Ibu mereka Sayyidatina Aisyah r.a. dari Mekkah. Kerana perbincangan tentang itu semua memerlukan satu siri yang tersendiri pula, dengan itu sekarang marilah kita ikuti jejak-jejak kisah ini supaya akhirnya kita sampai kepada orang-orang yang telah meninggalkan kesan tapak kakinya di atas bumi sejarah Islam, dan apabila tertangkap nanti orang-orang yang terbabit dalam merekacipta cerita ini dapatlah kita pastikan dari golongan manakah mereka itu dan seterusnya dengan mudah dapat kita putuskan apakah sebenarnya motif mereka dalam mengadakan cerita-cerita seumpama ini di samping akan terselamatlah masyarakat daripada bahana fitnah mereka.

Sejauh yang dapat dikesan daripada buku-buku sejarah, maka kita dapati Ibn Jarir At –Thabarilah orang yang menceritakan sanad-sanadnya sendiri. Justeru itu ada baiknya jika kita mengikuti apa yang telah dibentangkan oleh At-Thabari itu di dalam kitabnya “Tarikhu Al-Umam Wa Al-Muluk”.

At-Thabari mengambil cerita ini daripada Ismail bin Musa al-Fazaairi. Dia mengambil daripada Ali bin ‘Abis Al-Azraqi. Dia pula berkata :”Abal Khattab Al-hajri menceritakan kepada kami kisah ini, diambilnya dari Safwan bin Qabishah Al-Ahmasi, katanya ; al-Urani, tuan punya unta telah menceritakan kepadaku dengan berkata : “Ketika saya mengenderai unta tiba-tiba datang di hadapan saya seorang yang berkenderaan. Dia bertanya , “ Wahai tuan punya unta, mahukah engkau jualkan untamu?”, Saya menjawab, “ Ya” . Dia bertanya, “berapa harganya?” Aku menjawab, “ Seribu dirham” . Orang itu berkata, “ Gila engkau! Adakah patut unta dijual dengan seribu dirham?” . “Ya! Ini unta saya”. Orang itu bertanya, “ Apa kelebihannya?”. Aku menceritakan, “ Tidak kukejar sesiapa pun dengan mengenderainya melainkan aku mendapatkannya dan tidak ada sesiapa pun mengejar aku ketika aku mengenderainya melainkan tidak didapatnya aku”. Berkata orang itu, “Kalaulah engkau tahu untuk siapakah kami dapatkan unta ini, tentu engkau tidak meletakkan setinggi itu harganya”. Aku bertanya, “ Jadi untuk siapa kamu mahu membelinya?”. Dia menjawab, “Untuk Ibumu”. Aku berkata, “Sesungguhnya telah kutinggalkan ibuku di rumahnya, dia tidak mahu kemana-mana pun”. Orang itu berkata, “Saya mahukan unta ini untuk ibu orang-orang mu’min, Aisyah”, Aku pun berkata, “ Jika begitu, ambillah unta ini dengan percuma”. Kata orang itu, “ Tidak ! Tetapi marilah bersamaku ke tempat persinggahan kami. Saya akan berikan kepadamu seekor unta betina Mahriyyah dan beberapa dirham sebagai tambahannya”. Dengan itu aku pun pergilah bersama orang itu ke tempat persinggahannya , maka mereka memberikan kepadaku seekor unta betina Mahriyyah bersama wang 400 atau 200 dirham. Setelah itu orang menanya aku, “Wahai saudara Urani! Bolehkah engkau menunjukkan jalan kepada kami?”. Aku menjawab, “ Ya! Memang kerja saya mencari orang”. Orang itu berkata, “Kalau begitu, ayuh bersama kami”. Maka berjalanlah aku bersama mereka. Tidak kulalui sesuatu lembah atau sesuatu mata air melainkan mereka bertanya tentang nama tempat itu sehinggalah kami sampai ke mata air Hau’ab lalu disalak oleh anjing-anjingnya. Mereka bertanya, “Apa namanya tempat mata air ini?”. Saya menceritakan, “ Ini adalah kolam Hau’ab”.

Berkata Urani, “Terus Aisyah berteriak dengan setinggi-tinggi suaranya, kemudian dia memukul untanya supaya pergi dari situ. Kemudian dia berkata, “Demi Allah ! Akulah perempuan yang akan disalak oleh anjing-anjing Hau’ab itu. Bawalah aku pulang!”. Tiga kali dia berkata begitu, lalu terus memukul untanya supaya bangkit. Orang-orang lain juga turut berangkat bersamanya dan berpatah balik sehinggalah hari keesokannya tiba-tiba datang kepadanya Abdullah bin Zubair dalam keadaan kebimbangan seraya berkata, “Selamatkan diri! Selamatkan diri! Tentera Ali sudah pun hampir sampai kemari”.

Urani berkata, “Maka berangkatlah mereka dalam keadaan menyeranah aku. Aku pun meninggalkan mereka. Tidak jauh aku berjalan dari situ aku pun bertemu Ali bersama-sama bala tenteranya seramai lebih kurang 300 orang. Ali memanggil aku, “Wahai orang yang berkenderaan! Marilah ke sini”. Maka aku pun pergilah. Dia bertanya, “ Dimana berada bala tentera itu?” Aku menjawab , “Di tempat sekian…. dan inilah untanya, saya telah menjualkan unta saya kepada mereka. Ali bertanya, “Adakah engkau telah berjalan juga bersama mereka? Aku menjawab, “Memang saya berjalan bersama mereka sehingga kami sampai ke mata air Hau’ab. Di situ anjing-anjingnya menyalak perempuan itu. Perempuan itu berkata begini … begini . Bila saya melihat perselisihan berlaku antara mereka saya pun meninggalkan mereka dan mereka terus pergi”. Ali berkata, “Bolehkah engkau tunjukkan kepada kami jalan ke Ziiqar?”. Aku berkata. “Mungkin sayalah orang yang paling tahu tentangnya”. Dia pun berkata, “Kalau begitu, marilah bersama”. Berkata Urani, “Maka kami pun berjalanlah sehingga kami sampai di Ziiqar. Sesampainya di situ Ali bin Abi Talib memanggil dua orang dan disuruh supaya mereka duduk bahu membahu. Kemudian dipanggil seorang yang lain pula lalu disuruh supaya duduk di atas bahu mereka berdua. Kemudian tampillah Ali dan terus memanjat belakang mereka. Lalu menduduki belakang yang teratas di antara mereka dengan menjuntaikan kedua-dua kakinya dari atas sebelah bahunya ( orang yang teratas ). Beliau memuji-muji Allah s.w.t. dan berselawat kepada Nabi s.a.w. kemudian beliau berkata, “Sesungguhnya kamu telah pun melihat apa yang telah dilakukan oleh golongan ini dan perempuan ini”.

Mendengar kata-kata Ali itu, Hassan pun bangun lalu menangis seperti perempuan. Hassan menerangkan, “Ya! Sudah pun aku memerintah engkau tetapi engkau menderhakaiku kerana engkau pun akan dibunuh dengan dahsyat ( penuh kesombongan ) dan tiada siapapun yang akan membelamu!”. Ali berkata , “Terangkanlah apa yang telah engkau perintahkan aku itu kepada orang ramai”. Hassan pun menerangkan, “ Bila Utsman telah dibunuh, telahpun aku perintahkan engkau supaya jangan menghulur tangan untuk menerima bai’at dari sesiapa sehingga orang-orang Arab di semua kawasan atau wilayah memaksa engkau menerima bai’at. Tentu sekali mereka tidak akan melantik orang lain selain engkau untuk memegang jawatan Khalifah. Tetapi engkau tidak mendengar cakapku. Bila perempuan ini bersama orang-orangnya mengangkat kepala sudah pun aku katakan kepadamu supaya jangan meninggalkan Madinah. Apa yang perlu engkau lakukan ialah menghantar utusan-utusan kepada pengikut-pengikutmu yang menerima cakapmu”.

Setelah mendengar keterangan Hassan itu, Ali pun berkata, “Memang benar apa katanya itu. Tetapi demi Allah, anakku! Aku tak mahu manjadi lemah seperti dhabo’. Begini ceritanya : Bila Rasulullah s.a.w. wafat, aku tak nampak sesiapa pun yang lebih berhak memegang jawatan sebagai Khalifah itu dari aku, tetapi orang ramai membai’ah Abu Bakar. Maka aku turut berbai’ah kepadanya, kemudian bila Abu Bakar mati aku tak nampak ada sesiapa yang lebih berhak untuk jawatan itu daripadaku, tetapi orang ramai berbai’ah kepada Umar maka aku pun turut berbai’ah kepadanya. Kemudian bila Umar mati ( sebelum mati ) dia telah melantik aku menjadi salah seorang dari enam orang ahli yang layak dilantik menjadi Khalifah. Ketika itu aku tak nampak juga ada seseorang yang lebih layak daripada aku untuk memegang jawatan ini tetapi orang ramai telah membai’ah Utsman maka aku juga turut membai’ahnya. Setelah orang ramai memberontak terhadap Utsman lalu membunuhnya barulah mereka datang kepadaku dan berbai’at kepadaku dengan suka rela tanpa dipaksa. Jadi sekarang saya akan memerangi sesiapa saja yang menentang saya dengan pertolongan orang-orang yang mengikutku sehingga Allah swt memutuskan di antara aku dengan mereka dan Dialah yang sebaik-baik memberi keputusan” . ( At-Thabari, Tarikhu Al-Umam wa Al-Muluk, jilid 3,m.s. 475-476).

Itulah kisah-kisah anjing Hau’ab yang telah dikemukakan oleh At-Thabari dengan isnadnya. Dengan beberapa kali membacanya dan merenungnya kita akan sampai kepada satu kesimpulan iaitu orang yang telah mereka cerita ini tentu sekali orang-orang kosong jiwanya daripada rasa hormat terhadap Sayyidatina Aisyah r.a. dan juga Sayyidina Ali r.a dan para sahabat sekalian. Matlamatnya tidak lain hanya ingin membangkitkan kebencian manusia terhadap Islam apabila diterima pembawa-pembawanya terdiri daripada orang-orang yang berperibadi rendah dan berperangai tak senonoh.

Yang menghairankan ialah ahli-ahli cerita itu hanya mengambil bahagian pertama daripada kisah yang dikemukakan oleh At-Thabari dengan tujuan menghina Aisyah r.a dan merendah-rendahkan beliau. Tetapi mereka tidak pula mengemukakan bahagian akhir cerita yang dikemukakan oleh At-Thabari yang jelas menunjukkan betapa tak senonohnya Sayyidina Ali dan betapa gilanya beliau terhadap kuasa ! (wal iyazubillah ).

Memanglah riwayat At-Thabari akan menjadi masalah kepada orang-orang yang menganggap segala apa yang tersebut di dalam kitabnya Tarikhu Al-Umam wa Al-Muluk sebagai fakta yang muktamad dalam sejarah Islam. Tentu sekali riwayat yang dikemukakan itu tidak dapat bertahan apabila diuji dengan batu penguji ilmu Riwayat dan Dirayah yang pernah diperkenalkan oleh ulama-ulama Islam dahulu, tetapi bagi setengah-setengah orang seperti Al-Maududi di dalam bukunya, “Khilafah wa Mulukiyyat” atau “Khilafah dan kerajaan” batu penguji ini dianggap sebagai pokok yang ditegah orang mendekatinya sepertimana pokok yang ditegah Allah, Adam dan Hawa mendekatinya. Kata beliau, “Jika sejarah Islam itu diuji dengan batu penguji ilmu rijal nescaya tidak akan tinggal kecuali hanya 1/10 daripada sejarah Islam itu “.

Rupanya bagi beliau pun 9/10 daripada sejarah Islam ini tidak dapat bertahan sebagai satu fakta yang semestinya diterima umat.

KECACATAN CERITA INI DINILAI DENGAN KAEDAH DIRAYAH

Apakah keaiban dan kecacatan yang tersembunyi di sebalik cerita ini? Apakah tidak ada langsung hakikat tersembunyi di sebalik apa yang disebutkan tentang “perempuan yang akan disalak oleh anjing Hau’ab itu?” Untuk menentukannya, sekarang kita akan menggunakan neraca “Riwayah dan Dirayah” yang unggul dan istimewa itu. Dengan sekali pandang sahaja terhadap cerita ini akan terserlah nyata di hadapan kita beberapa perkara antara lain :

(1) Agaknya riwayat inilah yang julung-julung kali mendedahkan kepada kita cara seorang pemimpin agung berucap di hadapan rakyat jelatanya dengan menaiki belakang seorang yang menaiki belakang dua orang yang lain sebagai mimbarnya dan yang anehnya ialah orang yang menunjukkan cara seperti ini ialah Sayyidina Ali r.a. yang terkenal sebagai “Singa Allah” itu. Siapakah agaknya pemimpin hari ini yang bersedia untuk berucap di hadapan pengikut-pengikutnya cara sedemikian rupa?

(2) Pada tempat di mana disebutkan tentang Ummul Mu’minin Aisyah r.a selalu digunakan perkataan “perempuan itu atau perempuan ini” yang dengan jelas sekali menunjukkan pereka cerita ini adalah terdiri daripada pengikut Ibnu Saba’ atau Syiah yang sememangnya menyimpan dendam kesumat yang mendalam terhadap sahabat terutama isteri kesayangan Rasulullah s.a.w. , Sayyidatina Aisyah r.a.

(3) Riwayat ini juga menunjukkan bahawa Sayyidina Ali sejak awal-awal lagi sememangnya berhasrat untuk mendapatkan jawatan Khalifah tetapi tidak berjaya. Bila sahaja beliau mendapat satu pasukan yang setia kepada beliau maka tanpa teragak-agak lagi beliau sudah bersedia untuk menghancur lumatkan setiap orang yang menghalang beliau daripada mendapat jawatan itu atau dengan lain boleh disimpulkan juga bahawa sekalian banyak peperangan yang telah dihancurkan oleh Sayyidina Ali itu bukan kerana lain melainkan untuk mendapatkan kuasa.

(4) Satu perkara yang cukup ganjil kita dapati di dalam cerita ini ialah bukan ayah yang memerintahkan ( menyuruh ) anaknya tetapi sebaliknya si anak yang memerintahkan ayahnya.

(5) Riwayat ini juga dengan terang menunjukkan bahawa Sayyidina Hassan lebih cerdik dan lebih ikhlas daripada Sayyidina Ali, manakala Sayyidina Ali sendiri kelihatan tidak mempunyai kedua-dua budi utama ini.

(6) Cerita ini menggambarkan Ummul Mu’minin Aisyah r.a telah berangkat dari Mekah dan telah meneruskan perjalanan tanpa kenderaan sehinggalah secara kebetulan Urani ditemui di dalam perjalanan itu lalu dibeli unta daripadanya. Pada ketika ini, barulah Ummul Mu’minin Aisyah mendapat kenderaan. Andaikata Urani tidak ditemuinya, nescaya terpaksalah Sayyidatina Aisyah berjalan kaki sampai ke Basrah padahal di tempat yang lain Thabari sendiri meriwayatkan bahawa bila Ummul Mu’minin Aisyah r.a. telah bangkit untuk berangkat maka Ya’la bin Umayyah membeli seekor unta dengan harga 80 dinar ( dalam satu riwayat yang lain 200 dinar ) kemudian memberikannya kepada Ummul Mu’minin Aisyah r.a. Selain daripada beliau memberi unta yang bernama Askar itu, beliau juga menyedekahkan 600 ekor unta kepada tentera yang ikut serta dengan Sayyidatina Aisyah r.a.

(7) Cerita ini menggambarkan Ummul Mu’minin Aisyah r.a. seperti seorang perempuan Badwi memecut untanya sendiri padahal sudah menjadi kebiasaan penghormatan diberikan kepada beliau ketika dalam perjalanan iaitu dengan menyediakan segedup yang berhijab dengan sempurna kemudian sahabat-sahabat yang setia menarik tali unta yang dinaiki beliau dalam keadaan diiringi sebelah kiri, kanan dan belakang beliau oleh sahabat yang lain pula sambil mendendangkan ucapan : Oh Ibu ! Engkaulah sebaik-baik Ibu yang pernah kami ketahui! “.

(8) Mengikut keterangan Urani di dalam cerita ini, beliau telah diberikan seekor unta betina bersama dengan sedikit wang sebagai ganti kepada unta yang diberikannya kepada Sayyidatina Aisyah r.a. Di sini timbul satu persoalan iaitu Sayyidatina Aisyah dikatakan sebelum ini sudahpun mempunyai seekor unta Mahriyyah, maka apa perlunya beliau menukar dengan yang lain? Unta itu pula ialah unta betina Mahriyyah iaitu jenis unta yang dihubungkan kepada Mahrah bin Haidan, dikatakan unta itu lari laju dan tidak dapat ditandingi oleh unta-unta lain.

(9) Sudah menjadi tabiat anjing menyalak kepada orang yang tidak dikenalinya. Anjing-anjing itu tidak menyalak kerana melihat peribadi-peribadi tertentu. Akan tetapi cerita ini pula menampilkan bahawa anjing-anjing di situ telah menyalahi tabiat semula jadinya. Ia menyalak Ummul Mu’minin Aisyah yang melalui kawasan itu sahaja, seolah-olahnya sebelum itu dan juga selepas itu , anjing-anjing di situ tak pernah menyalak ataupun anjing-anjing Hau’ab itu mempunyai sifat khusus berbanding yang lain kerana ia tidak tahu menyalak orang lain, hanya diciptakan Tuhan semata-mata untuk menyalak Aisyah!

(10) Sungguh malang sekali Ummul Mu’minin Aisyah yang digambarkan di dalam cerita ini kerana beliau tidak mendapati sesiapapun yang bersedia untuk menunjukkannya jalan ke Basrah selain daripada Urani yang ditemui secara kebetulan di tengah jalan, sedangkan Thabari sendiri di tempat yang lain pula menyatakan bahawa Sayyidatina Aisyah menuju ke Basrah untuk menumpaskan pergerakkan golongan pemberontak dan penderhaka terhadap Khalifah Utsman atas cadangan bekas gabenornya Abdullah bin Amir bahkan Abdullah bin Amir sendiri ada bersama beliau. Sebagai seorang bekas gabenor di sana, tentu sekali Abdullah bin Amir cukup arif tentang setiap perhentian di tengah jalan ke Basrah itu. Selain dari itu beliau sendiri telah dikenali sejarah sebagai orang yang telah menyediakan kemudahan untuk orang-orang haji dan orang-orang yang musafir dengan mengadakan telaga-telaga atau kolam-kolam di tengah jalan antara Mekah dan Basrah semasa beliau menjadi gabenor di Basrah. Lebih dari itu, hingga ke hari ini masih lagi ada satu kawasan di antara Mekkah dan Basrah itu yang dikenali dengan namanya iaitu Bustan Ibn ‘Amir.

Jadi dengan adanya Abdullah bin Amir dan rakan-rakan seperjalanannya yang lain keperluan kepada seorang penunjuk jalan yang tidak diketahui latar belakang dan peribadinya dengan jelas menunjukkan kekarutan cerita ini.

(11)Seorang ahli sejarah yang terkenal yang telah berlalu sebelum At-Thabari lagi iaitu Abdul Faraj Qudamah bin Jaafar (wafat 290H), telahpun mengenal pasti perhentian-perhentian yang terdapat pada jalan-jalan yang penting di zaman permulaan Islam. Di dalam bukunya “Kitabu Al-Kharaj wa Sin’at kitabah” beliau mengatakan bahawa di antara Mekah dan Basrah terdapat 21 perhentian tetapi tidak ada satupun daripada perhentian-perhentian itu bernama Al-Hau’ab.

(12)Jika perhentian di jalan Mekah ke Basrah ada 21, maka adakah pada perhentian-perhentian lain selain daripada perhentian yang bernama Hau’ab itu tidak ada anjing? Sekiranya ada, apakah anjing-anjing itu telah diperintah oleh Allah supaya tidak menyalak seseorang yang melalui kawasan itu?

Itulah beberapa kecacatan yang dapat dikesan daripada cerita yang dikemukakan oleh Thabari di dalam bukunya yang terkenal Tarikh Al Umam wa Al Muluk. Kecacatan dan keaiban sebanyak yang tersebut itu telah dapat kita kesan hanya dengan menggunakan satu method penilaian riwayat-riwayat iaitu method Dirayah.

KECACATAN CERITA INI DINILAI DENGAN KAEDAH RIWAYAH

Sekarang marilah kita buktikan di mana letaknya kecacatan cerita ini dengan menggunakan kaedah Riwayah pula, kerana metod ini telah di ajar oleh Allah swt sendiri kepada orang-orang beriman di dalam kitab suciNya Al-Quran bermaksud :

“ Wahai! orang-orang yang beriman jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa berita hendaklah kamu selidik agar kamu tidak menimpakan sesuatu musibah ke atas sesuatu golongan tanpa pengetahuan kemudian kamu menyesal atas apa yang kamu lakukan itu “. ( Al-Hujurat, ayat 6 )

Oleh kerana itu, kita sebagai orang Islam yang tidak mahu menyesal di dunia dan di akhirat maka semestinya kita menyelidiki tentang orang-orang yang membawa cerita ini berpandukan metod riwayat yang selama-lamanya dipakai oleh ulama Islam di dalam menilai sesuatu berita.

At-Thabari mengambil cerita ini daripada Ismail bin Musa Al-Fazari. Maka siapakah Ismail bin Al-Fazari ini? Iman Az Zahabi dalam “ Mizan Al I’tidal “ menulis bahawa dia ini adalah seorang penduduk Kufah, anak saudara kepada Suddi ( seorang pendusta besar). Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah ada menerima riwayat daripadanya tetapi Bukhari, Muslim dan Nasaai tidak mengambil riwayatnya.

Abu Hatim berkata, “ Dia seorang benar”, Nasai berkata,”Tidak mengapa dengannya”. Tetapi Ibn Adiy pula menulis bahawa tokoh-tokoh hadis mengkritiknya dengan keras kerana dia adalah seorang Syiah pelampau. Abdan berkata bahawa, “Pernah satu ketika kami selalu pergi mendengar riwayat-riwayat daripadanya, tetapi kemudian Abu Bakr Abi Syaibah dan Hammad melarang kami daripada mendengar riwayat-riwayatnya. Mereka berkata, “ Apakah kamu pergi kepada si fasiq itu yang selalu memaki hamun para sahabat? “. ( Mizanu Al I’tidal, j.1, ms 252)

Hafidz Ibn Hajar berkata, “ Walaupun dikatakan dia seorang yang benar tetapi dia tertuduh sebagai seorang Rafidhah . Selain dari itu banyak pula melakukan kesilapan di dalam riwayatnya. Dia mati pada tahun 245 H”. ( Taqrib At-Tahzib jilid 1. m.s. 75)

Perawi kedua, bagi riwayat ini yang menyampaikannya kepada Ismail bin Musa Al-Fazari ialah Ali bin ‘Aabis Al-Azrak. Hafidz Ibn Hajar menulis tentangnya, “Dia seorang penduduk Kufah, lemah. Tirmidzi ada mengambil riwayat daripadanya “.( Taqribu At-Tahzib jilid.2. m.s.39 )

Imam Zahabi menulis, “Yahya bin Ma’in berkata; dia seorang yang tidak berharga. Jauzajani, Nasa’i dan Azdi berkata , “Dia seorang yang dhaif”. Ibn Hibban menyatakan bahawa, “Dia ini melakukan kesilapan-kesilapan yang teruk kerana itulah riwayat-riwayatnya ditinggalkan”. (Mizanu Al-I’tidal jilid 3. ms. 134).

Perawi yang ketiga, darinya Ali bin ‘Aabis mengambil riwayat ini ialah Abu Al-Khattab Al-Hajri. Hafidz Ibn Hajar berkata , “Ini seorang yang tidak di ketahui”. (Taqribi At- Tahzib jilid 2 ms 417 )

Perawi yang keempat, yang merupakan tempat pengambilan Abu Al-Khattab ialah Sofwan bin Qabishah. Hafidz Ibn Hajar menulis bahawa, “ Dia ini juga seorang yang tidak diketahui”. ( lisanu Al-Mizan jilid.3 m.s. 192 )

Perawi yang terakhir dan teratas sekali ialah ‘Urani. Ini sebenarnya bukanlah satu nama tetapi adalah ia satu nisbah kepada qabilah Urainah : – ertinya seorang daripada qabilah Urainah. Tetapi siapakah orang itu? Apa namanya? Di mana tempat tinggalnya? Bila dilahirkan? Bila mati? Semuanya tidak diketahui. Kitab-kitab sejarah dan kitab-kitab rijal, sepi dari menentukan siapakah ‘Urani ini.

Sejauh yang dapat dipastikan daripada kitab-kitab rijal, orang yang dinisbahkan dengan ‘Urani ada dua orang sahaja, iaitu :

Pertama ; Hassan bin Abdullah Al- ‘Urani. Dia banyak mengemukakan riwayat mursal daripada Abdullah bin Abbas dari Thabaqah keempat. Dia tidak pernah melihat seorang pun sahabat.

Kedua : Qasim bin Hakam bin Katsir Al-‘Urani. Dia juga seorang yang dhaif. Di dalam Taqribu At-Tahzib tersebut tarikh matinya ialah 208H, sedangkan peristiwa yang kita bincangkan ini berlaku pada tahun 36H.

Agaknya ‘Urani yang merupakan punca kepada cerita ini adalah seorang yang ghaib, seperti ghaibnya Imam Kedua Belas Syiah. Ringkasnya, di dalam silsilah isnad cerita ini terdapat 3 orang perawi yang majhul ( tidak diketahui siapakah orangnya). Seorang daripadanya tidak berguna dan tidak boleh dipercayai dan seorang lagi pula ialah seorang Rafidhi.

Dengan adanya orang-orang seperti ini di dalam sanad cerita ini, para pembaca dapat membayangkan dengan sendiri betapa dahsyatnya cerita yang akan dipersembahkan oleh mereka.

Selain daripada mengemukakan riwayat di atas, At-Thabari mengemukakan satu lagi riwayat daripada Ahmad bin Zuhair. Beliau pula diceritakan oleh ayahnya Zuhair. Ayahnya mengatakan, “Wahab bin Hatim menceritakan kepada saya katanya : Saya mendengar Yunus bin Yazid Al-Aily daripada Az-Zuhri katanya, “Sampai berita kepada saya bahawa ….”

Isnad yang dikemukakan oleh At-Thabari ini terdiri daripada orang-orang yang tsiqah (boleh dipercayai ) tetapi riwayat ini ialah riwayat munqati’ (terputus sanadnya) kerana Az-Zuhri tidak menceritakan daripada siapa diambilnya cerita ini sedangkan beliau baru dilahirkan pada tahun 50 H atau 59H. Yahya bin Ma’in mengatakan pada tahun 56 H. Manakala Al Waqidi pula menyatakan pada tahun 58H, sedangkan peristiwa yang diriwayatkan olehnya berlaku pada tahun 36H. Jadi tidak diketahui berapa orangkah yang “gugur” di atas daripada Az-Zuhri ini. Dengan ini jelaslah bahawa riwayat Az-Zuhri itu adalah riwayat yang dhaif kerana telah gugur dari isnadnya entah berapa orang perawi.

Sementara Yahya bin Said Al Qatthan pula menyatakan riwayat mursal yang dikemukakan oleh Az-Zuhri adalah lebih buruk daripada riwayat mursal yang dikemukakan oleh orang lain. Imam Yahya bin Said juga tidak memberi penilaian terhadap riwayat mursal Az-Zuhri.( lihat Tadribu Ar rawi jilid 1. m.s. 196 & 208 ). Riwayat yang serendah itu kedudukannya tidak boleh diketengahkan terutama apabila ia menampilkan keaiban dan kerendahan para sahabat r.a yang telah diakui sebagai orang-orang yang adil dengan ijmak ulama’.

Apa yang dapat kita lihat di dalam banyak riwayat yang menampilkan kisah ini selain daripada menghina Sayyidatina Aisyah dan Sayyidina Ali r.a. ia juga menampilkan kerendahan peribadi para sahabat seperti Zubair dan Thalhah r.a. kerana dikatakan seramai 50 orang atau lebih dengan dikepalai oleh mereka berdua telah mengangkat sumpah palsu di hadapan Sayyidatina Aisyah r.a. untuk membuktikan bahawa anjing-anjing menyalak Sayyidatina Aisyah itu bukan bernama Hau’ab.

Selain dari At Thabari, Abu Ya’la juga di dalam musnadnya mengemukakan riwayat dengan sanadnya yang tersendiri. Perawi-perawi terdiri dari Abdur Rahman bin Soleh. Dia mengambil cerita ini dari Muhammad bin Fadhail. Beliau pula mengambil daripada Ismail bin Abi Khalid dan Ismail bin Khalid pula mengambilnya daripada Qais bin Abi Hazim.

Pentakhrij hadis kitab Musnad Abi Ya’la yang bernama Husain Salim Asad telah memutuskan dengan mengatakan bahawa hadis ini sahih padahal sebenarnya ia adalah dhaif kerana Abdur Rahman bin Soleh Al Azdi itu telah dihukumkan oleh Ibn Adiy dengan mengatakan bahawa, “Beliau adalah seorang syiah yang hangus”. Abu Daud pula mengatakan, “Beliau telah menulis sebuah kitab pada memburuk-burukkan sahabat. Dia adalah seorang yang jahat”.

Soleh Jazarah mengatakan, dia seorang yang selalu memburuk-burukkan Sayyidina Utsman r.a. ( Mizan At ‘Itidal jilid 2. m.s. 569).

Perawi keduanya ialah Muhammad bin Fudhail. Imam Abu Daud berkata, “Dia adalah seorang Syiah yang hangus “. Imam Ibn Hibban berkata, “Dia melampau dalam Syiahnya “. ( Tahzibu At Tahzib jilid 9. ms. 360 ).

Satu riwayat yang di dalam sanadnya terdapat dua orang Syiah yang hangus, bagaimanakah boleh di hukumkan dengan sahih? Apalagi riwayat yang dikemukakan itu mengandungi berita yang memburuk-burukkan sahabat dan meyokong aqidahnya.

Selain di dalam Musnad Abu Ya’la, di dalam musnad Ahmad juga pada dua tempat terdapat cerita ini. Sebetulnya riwayat ini termasuk di dalam Zawa’id Musnad Ahmad yang diriwayatkan oleh anak Imam Ahmad iaitu Abdullah. Sebagaimana dimaklumi Musnad Imam Ahmad itu sendiri mengandungi sekian banyak hadis dhaif dan beberapa hadis maudhu’. Adapun di dalam Zawa’id Musnad, mengikut Hafidz Iraqi terdapat lebih banyak lagi riwayat maudhu’ dan dhaif berbanding Musnad asal. Walaubagaimanapun isnad kedua-duanya sampai kepada Qais bin Abi Hazim seperti yang terdapat di dalam musnad Abi Ya’la juga, sedangkan Qais bin Abi Hazim itu ( wafat 98H ) telah dihukum oleh Yahya bin Sa’id Al Qattan sebagai “Mungkaru al hadis” . Beliau menyebutkan beberapa hadisnya yang mungkar itu. Di antaranya ialah hadis “ Anjing-anjing Hau’ab” yang sedang kita bincangkan ini.

Selain dari itu Ismail bin Abi Khalid mengatakan, “ Qais telah menjangkau umur lebih 100 tahun sehingga telah nyanyuk sekian lama. Besar kemungkinan riwayat ini juga dikemukakan beliau pada ketika sudah nyanyuk “. ( Hafidz Ibn Hajar Al Atsqalani Tahzibu At Tahzib jilid 8 m.s. 347 ).

Perkara yang sama juga telah disebutkan oleh Az Zahabi dalam mizanu I’tidal jilid 3 m.s. 392-393.

Bagaimanakah kita akan menerima satu berita yang mencacatkan para sahabat dengan bersandarkan kepada riwayat-riwayat seumpama ini yang mana kedudukan setinggi-tingginya adalah dhaif kalau pun tidak maudhu’?. Malah Imam Ibnul Al Arabi telah menolak bulat-bulat hadis ini dan menganggapnya sebagai hasil rekaan musuh-musuh para sahabat. ( Al awasim Min Al Qawasim m.s. 161).

Di dalam kitab Mu’jamu Al buldan oleh Yaqut Al Hamawi tersebut bahawa Ummul Zimlin, Salma binti Malik bin Huzaifah bin Badar Al Fazariyyah adalah seorang yang terhormat di kalangan masyarakatnya sama seperti ibunya Ummu Qirfah.

Pada tahun yang ke-6 H, Rasulullah s.a.w. telah menghantar satu pasukan tentera yang dipimpin oleh Zaid bin Haritsah. Di dalam pertempuran dengan pasukan ini Ummu Qirfah bersama anaknya Ummu Zimlin telah ditawan lalu si ibu, Ummu Qirfah, kerana jenayahnya, telah dihukum bunuh. Ummu Zimlin tertawan dan dijadikan hamba sahaya diberikan kepada Sayyidatina Aisyah r.a. Beberapa lama kemudian Sayyidatina Aisyah r.a memerdekakannya.

Semasa Ummu Zimlin itu berada bersama Sayyidatina Aisyah r.a pernah Nabi s.a.w. datang kepada mereka di hadapan beberapa ramai perempuan yang berada bersama Sayyidatina Aisyah r.a itu lalu Rasulullah bersabda maksudnya :

“Sesungguhnya salah seorang dari kamu akan disalak oleh anjing-anjing Hau’ab “.

Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. murtadlah sekian ramai orang-orang Arab. Ummu Zimlin akhirnya pulang kepada kaumnya dan telah murtad juga bersama beberapa orang lain yang telah murtad. Pada ketika itu orang-orang murtad itu telah bergabung dengan Ummu Zimlin yang menyimpan dendam terhadap orang-orang Islam dan mahu menuntut bela kerana ibunya yang terbunuh. Tulaihah yang telah mendakwa menjadi nabi juga bergabung dengannya. Maka Ummu Zimlin menghantar orang-orangnya di antara Zafar dan Hau’ab sehingga terkumpul sekian ramai penyokong-penyokongnya daripada Bani Ghatthafan, Hawazin Sulaim, Asad dan Thayyi’. Perkara ini sampai ke pengetahuan Khalid lalu beliau berangkat dengan bala tentera Islam untuk memerangi mereka.

Di dalam peperangan ini Ummu Zimlin mengenderai unta ibunya. Akhirnya untanya itu dinaiki oleh beberapa orang Islam lalu mereka menyembelih unta itu dan membunuh Ummu Zimlin selain daripada 100 orang lelaki yang berada di sekelilingnya demi menjaganya.

Para ulama berpendapat bahawa Ummu Zimlinlah yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam sabdanya itu.

“Hau’ab” di dalam kisah ini ialah satu tempat di sekitar Thaif. ( Mu’jamu al Buldan jilid 2 m.s. 314 ; Akhba Syah Najibadi – Tarikh Al-Islam jilid 1 m.s. 272 ) . Ertinya, Hau’ab itu bukan terletak di sebelah timur Semenanjung Arab seperti yang didakwakan sebagai berada di antara Mekah dan Basrah, tetapi sebaliknya berada di sebelah selatan Semenanjung Arab.

Syeikh Muhibuddin Al Khatib setelah mengemukakan apa yang disebut oleh Yaqut di dalam kitabnya Mu’jam Al Buldan secara ringkas menyatakan cerita ini adalah dhaif kerana diriwayatkan oleh Saif bin Umar At Tamim. Walaupun begitu, hadis yang mereka kemukakan tentang Aisyah r.a. itu lebih dhaif lagi daripadanya. ( Hasyiah Al ‘Awaasin Min Al Qawaasin m,s.162 )

Selain dari itu, percubaan yang bersungguh-sungguh oleh pihak orang-orang yang mendakwa sebagai pengikut setia Sayyidina Ali untuk menyembelih unta yang dinaiki oleh Sayyidatina Aisyah di dalam peperangan Jamal juga barangkali merupakan usaha mereka untuk mengenakan apa yang berlaku ke atas Ummu Zimlin kepada Sayyidatina Aisyah r.a dan seterusnya mengenakan apa yang diucapkan oleh Nabi saw itu kepada Sayyidatina Aisyah r.a.

KESIMPULAN

Berdasarkan perbincangan yang lalu dapat disimpulkan bahawa mengikut metod Riwayat dan Dirayah cerita ini tidak dapat diterima sebagai bukti. Dari sudut Riwayatnya cerita ini berpunca daripada orang-orang yang tidak boleh dipercayai (diterima ) kerana dhaifnya. Sementara itu dari sudut Dirayah pula riwayat ini tidak dapat diterima kerana Allah s.w.t telah mengajar kita ummat Islam apabila berhadapan dengan cerita-cerita seumpama ini di dalam firmanNya yang bermaksud :

“Mengapa di waktu mendengar cerita bohong itu orang-orang Mu’min tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri dan ( mengapa tidak) berkata ini suatu berita bohong yang nyata “. ( Surah An-Nur ; Ayat 12 ).

Kemudian selepas tiga ayat Allah s.w.t. berfirman pula bermaksud ;

“ Dan mengapa kamu tidak berkata di waktu mendengar berita bohong itu; Sekali-kali tidaklah patut kami memperkatakan tentang berita ini. Maha Suci Engkau ( Ya Tuhan kami ). Ini adalah dusta yang besar. Allah memperingatkan kamu agar jangan kembali memperbuat yang seperti itu selama-lamanya jika kamu benar-benar orang yang beriman” ( surah An Nur ayat 16-17 ).

Bukankah Allah s.w.t menurunkan ayat ini berhubung dengan pembersihan terhadap fitnah dan berita bohong yang telah disebarkan oleh orang-orang munafiq tentang Aisyah? Bukankah melalui ayat-ayat ini Allah s.w.t. telah mengingatkan kita supaya jangan lagi kita kembali menuduh orang-orang yang berperibadi yang mulia seperti Sayyidatina Aisyah Ummul Mu’minin jika kita benar-benar orang-orang yang beriman?

Belum sedar lagikah kita bahawa sepertimana medan Tafsir Al Quran bersepah dengan sampah sarap Israiliyyat maka seperti itulah juga ruang lingkup sejarah Islam dan hadis-hadis Nabawi telah dicemari racun Syi’iyyaat?.

Maka untuk terus hidup dalam keadaan sihat sejahtera dan aman damai semestinya umat ini membersihkan ruang lingkup yang menguasai hidupnya dengan kesedaran bahawa kerja ini bukanlah suatu kerja yang boleh dilakukan secara sambil lewa sahaja dan hanya Allah jua tempat kita memohon pertolongan.

Catatan Hujung:

Kenapa Aisyah r.a. keluar ke Basrah ?

Al-Qadhi ibn al-Arabi di dalam kitabnya ‘Al-Awasim Min al-Qawasin’ (m.s. 51) mengatakan kemungkinan Aisyah, al-Zubair dan Talhah keluar ke Basrah untuk menyatukan semula berbagai-bagai golongan orang Islam dan mengembalikan mereka kepada landasan perpaduan Islam dan supaya mereka tidak terus berada dalam keadaan kacau bilau.


Ibn Hajar menulis dalam ‘Fath al-Bari ( jilid 13 m.d. 41 dan 42) sebagaimana berikut:
“Tidak ada seorang pun dari kalangan ulama’ yang melaporkan A’isyah r.a. dan para sahabat yang bersama dengannya, keluar dengan tujuan merampas jawatan Khalifah dari tangan Ali dan mahu menyerahkan jawatan tersebut kepada salah seorang dari mereka”.
Ibn al-Athir menulis di dalam kitabnya “al-Kamil” (jilid 3 m.s. 107), Uthman bin al-Khafif, Gabenor Basrah telah menghantar dua orang utusan kepada Ummu al-Mukminin Aisyah r.a. untuk bertanya tentang sebab-sebab beliau keluar ke Basrah. Aisyah r.a. menjawab, “ Demi Allah bukan orang seperti saya memberitahu berita kepada anaknya…Sebenarnya golongan pemberontak dan beberapa kabilah di kawasan pendalaman telah menyerang bandar suci Rasulullah s.a.w. Mereka telah melakukan sesuatu yang tidak patut mereka lakukan. Mereka menghasut orang-orang yang tidak tahu kisah sebenarnya. Mereka ini mendapat laknat dari Rasulullulah s.a.w. Mereka telah membunuh pemimpin orang Islam tanpa alasan yang konkrit. Mereka juga menghalalkan darah yang haram ditumpahkan, merampas harta yang haram dirampas, mencemarkan kota suci Madinah dan menceroboh bulan yang suci. Oleh itu saya keluar dengan gerombolan orang-orang Islam untuk memberitahu mereka, apa yang patut saya lakukan kepada orang-orang Islam di Basrah dan tindakan yang sewajarnya patut diambil oleh mereka, bagi mententeramkan isu ini. Setelah itu Aisyah r.a. membaca firman Allah s.w.t. yang maksudnya, lebih kurang :
“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan orang yang menyuruh bersedekah atau berbuat kebaikan atau mendamaikan antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredhaan Allah, tentulah kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar” ( An-Nisa’, ayat 114)
Seterusnya mereka berkata kepada Aisyah r.a., “Nabi pernah keluar untuk mendamaikan orang Islam dan pernah juga menghantar wakil Baginda untuk menjalankan misi tersebut”

Menurut Ibn al-Arabi, Aisyah r.a. keluar ke Basrah semata-mata mengharapkan pahala dari Allah dan mengambil kesempatan untuk mendamaikan persengketaan yang berlaku sesama Islam sehingga isu tersebut berjalan sebagaimana yang telah ditakdirkan oleh Allah.

Leave a comment

Filed under Fakta Sejarah

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s